Oleh Yusoff A. Rahman JIKA ada satu kelebihan pasukan Arsenal menjelang menentang AS Roma dalam perlawanan pertama pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah hari ini, pertarungan itu berlangsung di Stadium Emirates.
Mungkin untuk membantu perjuangannya, seramai 60,104 penonton yang menyaksikan pasukan mereka seri 0-0 dengan Sunderland dalam Liga Perdana England pada Sabtu lalu akan kembali mengisi tempat duduk stadium tersebut.
Tetapi sokongan moral sahaja tidak cukup kerana melihat kepada statistik perlawanan Arsenal dalam tiga perlawanan Liga Perdana England, pasukan pimpinan Arsene Wenger itu terkial-kial menjaringkan gol.
Selain seri tanpa jaringan dengan Sunderland, Arsenal seri 0-0 dengan Tottenham Hotspur dan juga West Ham United.
Tanpa Cesc Fabregas di midfield dan penyerang seperti Emmanuel Adebayor dan Eduardo, yang agak malang mengalami kecederaan selepas muncul buat pertama kali selepas hampir setahun, Arsenal seperti kurang sengatan kerana pemain seperti Robin van Persie gagal memanfaatkan peluang mudah seperti dalam awal permainan tatkala menentang Sunderland.
Lebih malang lagi, Arsenal juga tidak dapat menggunakan muka barunya, Andrei Arshavin, kerana pemain Russia itu sebelum ini beraksi untuk Zenit St Petersburg dalam pertandingan ini.
Arsenal akan terasa kerugiannya kerana Arshavin, yang menggantikan Carlos Vela pada minit ke-62, mengancam dalam kemunculan sulungnya untuk Arsenal.
Suka ataupun tidak, Arsenal tidak mampu kecundang.
Arsenal tidak boleh membiarkan Roma menjaringkan gol kerana jaringan di padang lawan akan memberikan kelebihan kepada pasukan dari Italy itu dalam perlawanan kedua nanti.
Dengan pasukannya terus diganggu masalah kecederaan, Wenger terpaksa bergantung pada tenaga mudanya dalam pertandingan ini sambil mengharapkan Van Persie tidak lagi tersasar apabila dihidangkan peluang keemasan.
Ini bermakna pemain muda seperti Denilson dan Samir Nasri bukan sahaja akan membentuk kesebelasan utama Arsenal, bahkan memikul tugas berat di midfield kerana kekuatan Roma selalunya di bahagian tengah.
'Denilson akan mempunyai peranan penting dalam perlawanan ini. Saya agak terkejut pemain ini kurang diberikan penghargaan,' kata Wenger mengenai pemain midfieldnya itu.
Tetapi Wenger sedar bahawa Roma sebuah pasukan yang berpengalaman, terutama kapten pasukan, Francesco Totti, yang kembali beraksi selepas masalah kecederaan untuk membantu pasukannya menewaskan Siena 1-0 dalam perlawanan Serie A Italy pada hujung minggu lalu.
Seorang lagi pemain Roma yang perlu diberi perhatian tentunya bekas pemain Brazil, Julio Baptista, yang pernah menyarung jersi Arsenal.
Beliau mungkin tidak sehebat Robinho daripada Manchester City tetapi lasak dan sungguh kompetitif. Ini bermakna bekas kapten Arsenal, William Gallas, harus memberikan perhatian kepada Baptista.
'Tidak syak perlawanan menentang Arsenal sungguh mencabar tetapi kami sudah bersedia,' kata Baptista.
Tetapi sudahkah Arsenal bersedia menerima kunjungan Roma sedang mereka terkial-kial dari segi sentuhan jaringan?
Barangkali bukan dalam pertarungan ini.
Tanpa Cesc Fabregas di midfield dan penyerang seperti Emmanuel Adebayor dan Eduardo