AFC News

FIFA.com - Latest News

Jangan perlekeh P. Pinang


HARDI (depan) tidak beraksi pada perlawanan menentang Pulau Pinang malam ini kerana menjalani penggantungan satu perlawanan.


"SAYA minta pemain Selangor supaya tidak memandang mudah pertemuan dengan Pulau Pinang kerana ini peluang terbaik untuk kita mengutip tiga mata penuh."

Demikian pesanan jurulatih Selangor, K. Devan yang menuntut komitmen seratus peratus daripada pemainnya apabila pasukan yang baru bergelar juara Piala FA itu turun bertemu Pulau Pinang pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam ini.

Andai berjaya menewaskan Pulau Pinang dan pada masa yang sama pendahulu liga, Perlis sekadar seri atau tewas dengan Kelantan di Kangar, Selangor akan kembali menduduki tangga teratas Liga Super setelah sekian lama menghuni kedudukan kedua.

Menurut Devan, saingan Liga Super sudah melepasi separuh jalan iaitu memasuki perlawanan ke-15 malam ini dan sudah tiba masanya bagi Selangor terus mengorak langkah.

"Kita tidak boleh lagi keciciran sebarang mata. Kemenangan sangat penting ketika ini. Jika kita seri atau tewas, hasrat Selangor untuk muncul juara Liga Super buat kali pertama pasti akan terjejas.

"Jadi saya harap pemain dapat memberi lebih fokus dan bekerja keras setiap kali mereka turun beraksi," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Biarpun bakal turun tanpa pemain tengah kebangsaan, Hardi Jaafar yang digantung satu perlawanan setelah mengumpul tiga kad kuning, Devan yakin pemain lain yang diturunkan kelak mampu menggalas tugas dengan baik.

"Hanya Hardi tak boleh beraksi. Pemain lain semua bebas daripada kecederaan. Mohd. Zaiza Zainal Abidin, K. Nanthakumar dan S. Sritharan pun sudah saya cuba pada perlawanan persahabatan menentang skuad bawah 23 tahun kebangsaan minggu lalu.

"Mungkin hanya Zaiza yang akan mula saya serapkan dalam senarai 18 pemain bermula perlawanan ini. Dia telah menunjukkan peningkatan tetapi perlu bekerja keras lagi kerana kelebihannya boleh beraksi di posisi pertahanan dan serangan," jelas Devan.

Berdasarkan rekod musim ini, Selangor pasti tiada masalah untuk menewaskan Pulau Pinang malam ini kerana mereka hanya tewas tiga kali iaitu kepada Johor FC (1-2) pada 13 Januari, UPB-MyTeam (0-1) pada 17 Februari dan Terengganu (1-2) pada 31 Mac lalu.