AFC News

FIFA.com - Latest News

Tengku Abdullah Harap Bangunan AFC Kekal Di Bukit Jalil

PEKAN, 26 Ogos (Bernama) -- Kepimpinan tertinggi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) diharap dapat mengambil kira dan memberi pertimbangan sewajarnya supaya bangunan AFC di Bukit Jalil, Kuala Lumpur terus dikekalkan.

Naib Presiden AFC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah ibu pejabat AFC sememangnya satu lokasi yang sesuai kerana terletak di kawasan tengah Asia malah turut dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk stadium, tempat latihan, pejabat yang baik selain berdekatan lapangan terbang dan hotel.

"Saya akui sekarang banyak kriteria untuk menempatkan lokasi baru bangunan AFC tetapi terpulang kepada AFC untuk menentukannya tapi saya rasa di Malaysia, ibu pejabat AFC sememangnya satu lokasi yang sesuai sebagai kawasan tengah-tengah Asia," titah baginda.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas rasa kurang senang FAM berhubung perancangan AFC memindahkan ibu pejabat AFC ke negara lain yang disuarakan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah selepas majlis penyampaian bantuan kepada golongan memerlukan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, beliau juga menghormati keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mendesak ibu pejabat AFC kekal di Kuala Lumpur pada mesyuarat Kongres FAM Sabtu lalu.

Menurut Tengku Abdullah, keputusan FAM itu berdasarkan sejarah dan pembabitan kepimpinan terdahulu, khususnya Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan seterusnya.

"Dalam hal ini, saya tidak tahu apa kekurangan negara ini hingga ibu pejabat AFC ini perlu dipindahkan ke negara lain," titah baginda.

Tengku Mahkota bertitah, sama ada Kejohanan Piala Juara-Juara Belia (CYC) menjadi punca perpindahan ibu pejabat AFC, beliau juga tidak mengetahui dan masih tertanya-tanya punca di sebaliknya.

Baginda juga meminta media mengutarakan persoalan itu kepada Presiden AFC, Mohammed Hammam sendiri kerana tidak adil untuk baginda memberikan jawapan tersebut.

"Saya bukannya presiden (AFC) kerana saya sudah menyatakan pendirian bahawa tidak bersetuju perpindahan ini pada mesyuarat Exco AFC lalu dan itu adalah pendirian dan tetap dengan keputusan saya tapi jika mahu pindah juga, apa boleh saya buat," titah baginda sambil menafikan wujudnya masalah di antara FAM dan AFC.

Hubungan dingin antara FAM dan AFC kini semakin jelas kelihatan apabila cadangan untuk memindahkan ibu pejabat AFC di Bukit Jalil dibangkitkan dalam mesyuarat exco AFC.

Mesyuarat AFC itu yang dipengerusikan Hammam dan perpindahan ibu pejabat AFC dari Kuala Lumpur adalah antara perkara yang dibincangkan.

-- BERNAMA