|
|
LONDON - Guus Hiddink menamatkan tugasnya sebagai pengurus Chelsea dengan penuh kegembiraan selepas membantu kelab tersebut mencatat kemenangan Piala FA walaupun kesal apabila gagal memenangi Liga Juara-Juara Eropah.
Hiddink yang kembali kepada tugas asalnya sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Rusia hari ini, ditanya oleh para wartawan adakah kemenangan 2-1 ke atas Everton merupakan penamat tugas yang sempurna.
"Ia akan menjadi lebih lengkap jika kami berjaya mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah.
"Itu sahaja kekesalan yang saya rasai, tidak beraksi bertemu Manchester United. Saya begitu suka jika dapat bertemu mereka," katanya.
Chelsea dikalahkan dalam perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah oleh Barcelona yang mengalahkan United pada babak akhir.
Hampir dua jam jurulatih Belanda itu muncul pada sidang media selepas perlawanan tamat kerana menghabiskan masa menari dan meraikan kejuaraan bersama pemain dan staf Chelsea.
"Suasana penuh emosi berlaku di bilik persalinan, semua orang berada di sana.
"Selepas itu saya menghimpunkan pemain dan staf teknikal untuk mendengar ucapan saya selama lima minit apabila saya mengucapkan terima kasih kepada mereka dalam suasana penuh emosi dia atas kerja yang dilakukan secara bersama," katanya, menambah pemilik kelab juga Roman Abramovich menyertai mereka dengan penuh gembira.
Hiddink mengambil alih tugas dari Luiz Felipe Scolari Februari lalu berikutan persembahan Chelsea yang kurang meyakinkan dan penyokong menunjukkan tanda-tanda kecewa.
Dia membuang sedikit masa untuk membina rejim baru dalam kelab tersebut, dengan pendekatan yang lebih tegas di dalam latihan, penjaga masa kecergasan dan termasuk pemakaian.
Dia mungkin menimbulkan kemarahan orang ramai di atas keengganannya mengutuk Didier Drogba dan Michael Ballack berikutan sandiwara yang dilakukan ketika tewas kepada Barcelona dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah tetapi kesetiaannya tetap dihargai oleh pemain.
"Pemain memberi respons dengan baik di atas permintaan kami sejak minggu pertama jadi saya mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana perkara itu.
"Kami berdepan dengan halangan dalam beberapa perlawanan tetapi pasukan telah memberi reaksi yang bagus," ujarnya.
Chelsea ketinggalan buat kali keempat dalam saingan Piala FA musim ini menerusi jaringan Louis Saha selepas 26 saat bermula sebelum Hiddink mengambil tempatnya.
"Ia sangat sukar untuk memberi reaksi mengenai gol tersebut, dalam keadaan yang panas, beraksi dengan langkah yang betul untuk membuatkan lawan keletihan
"Memberi reaksi menentang Everton adalah sangat sukar, mereka telah membuktikan tahun ini bahawa mereka lebih tersusun. Namun secara taktikal kami melakukan serangan di sebelah kiri dan menjaringkan dua gol yang cantik," kata Hiddink.
Hiddink mempunyai pujian istimewa buat Frank Lampard, yang melakukan rembatan menerusi kaki kiri pada minit ke-72 bagi memberikan kemenangan buat Chelsea.
"Dia tahu bila masa yang sesuai untuknya menunjukkan kebangkitan, dia berada di tempat yang betul pada saat yang penting.
"Ramai pemain hebat membuat perubahan dalam perlawanan akhir dan dia menunjukkan sekali lagi dalam pada masa yang tepat. Itulah petanda buat pemain yang hebat,'' ujarnya. - REUTERS