AFC News

FIFA.com - Latest News

Brazil, Itali mula rasa bahang


PERTAHANAN Itali, Fabio Cannavaro memegang anak singa jinak ketika membuat lawatan ke taman binatang di Randburg kelmarin. Tetapi hari ini mereka akan berdepan 'Singa Afrika' yang pasti mengganas selepas terluka di tangan Brazil.

JOHANNESBURG: Dua barisan elit - Brazil dan Itali pasti berwaspada dengan satu lagi rasa bimbang terpancar dalam kancah Piala Konfederasi apabila mereka bakal beraksi lagi, hari ini selepas bergelut untuk mencipta kemenangan sulung dalam saingan Kumpulan B.

Ketika juara Piala Dunia 2006, Itali bertemu Mesir di Ellis Park, Brazil pula yang masih terasa gegaran selepas berhempas pulas memenangi perlawanan pertama akan menentang Amerika Syarikat di Pretoria dengan pemenang pertarungan pasukan utama itu akan memastikan tempat ke separuh akhir.

Brazil memerlukan penalti minit terakhir untuk mengatasi Mesir dalam perlawanan menyaksikan jaringan tujuh gol di Bloemfontein Isnin lalu, sambil jurulatih Brazil, Dunga menyalahkan faktor keletihan selepas menentang Paraguay dalam kelayakan Piala Dunia sebelum berlepas ke Afrika Selatan.


Apapun, jurulatih itu memberi amaran kepada pemain agar tidak mengulangi aksi sama ketika menentang Mesir walaupun ketika sama memuji semangat juang anak didiknya yang mengejar bola sehingga minit terakhir perlawanan.

“Apa yang buat saya gembira mereka meneruskan sehingga saat akhir untuk mendapatkan gol kemenangan. Saya harap dapat melihat semangat sama apabila menentang AS nanti,” kata Dunga.

Itali - walaupun mendominasi babak kedua, namun pada tanggapan jurulatih, Marcello Lippi ada beberapa kebimbangan menjelang pertemuan berdepan Mesir.

“Saya terkejut dengan tahap ketegangan dalam permainan kami pada awal perlawanan tetapi akhirnya kami berjaya mengawal bola walaupun posisi bola tidak seperti yang saya mahukan,” katanya.

Lippi akur potensi Mesir selepas menyaksikan mereka secara dekat di Kaherah tiga tahun lalu pada pusingan akhir Piala Negara Afrika dan menyifatkan lawan itu liat dan dia gemar akan congakan jurulatih mereka yang terbukti berkesan ketika menentang Brazil. - Reuters