AFC News

FIFA.com - Latest News

Kembali ke kancah semi pro?

KUALA LUMPUR - Kembali ke semi pro? Itu antara format yang mungkin disaksikan dalam liga bola sepak tempatan musim depan bagi mengatasi masalah kewangan yang kerap dialami persatuan bola sepak negeri dan kelab.

Cadangan itu antara yang bakal dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setelah Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah mahu struktur Liga Malaysia diubah musim depan.

Jika tidak kembali ke era amatur atau semi pro, struktur liga musim depan mungkin diperkecilkan dengan jumlah pasukan yang beraksi dihadkan kepada pasukan yang mempunyai kewangan yang kukuh.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, ia merupakan antara cadangan yang akan diperhalusi oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM bagi menyuntik format yang lebih segar terhadap perjalanan liga tempatan.

Katanya, gesaan supaya format baru liga dilaksanakan dicetuskan oleh Sultan Ahmad Shah ketika baginda merasmikan Kongres FAM Ke-46, semalam.

Sultan Ahmad Shah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap impak liga sekarang yang gagal memajukan bola sepak tempatan menerusi format sedia ada.

''Dalam titahnya, Tuanku melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran kewangan persatuan bola sepak negeri dan kelab yang kerap menghadapi masalah kewangan.

''Berikutan itu Tuanku mengarahkan format pertandingan liga ketika ini diberi nafas baru.

''Jika perlu diubah, lakukan perubahan segera supaya tidak lagi berulang masalah kewangan.

''Untuk itu, jawatankuasa pertandingan tempatan diberi tempoh tiga bulan untuk menilai apa jua cadangan format liga yang baik untuk dilaksanakan tahun depan,'' katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kata Redzuan, format sekarang perlu diubah.

''Kita sudah lama mengadakan liga profesional, namun mutu bola sepak kita tidak meningkat. Sudah sampai masanya format liga diubah secara drastik,'' katanya.

Ketika ini cadangan paling ideal ialah mengehadkan jumlah pasukan beraksi hanya kepada pasukan yang memiliki kewangan yang kukuh sahaja.

Dalam hal ini, Redzuan memberi contoh liga bola sepak negara jiran Myanmar yang baru sahaja memulakan liga profesional dua bulan tetapi hanya membenarkan penyertaan lapan pasukan sahaja.

''Begitu juga liga bola sepak di Thailand, ia tidak begitu sistematik seperti di negara ini.

''Tetapi mutu bola sepak mereka begitu tinggi. Ini kerana liga yang kecil akan membolehkan hanya pemain berkualiti sahaja beraksi dan mereka ini akan bersaing untuk mewakili skuad kebangsaan,'' katanya.

Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Datuk Che Mat Jusoh menolak idea penganjuran liga semi pro.

''Secara peribadi saya tidak setuju dengan cadangan kita kembali ke era semi pro. Apa yang boleh kita lakukan ialah dengan mewujudkan pasukan yang berkualiti,'' katanya.