AFC News

FIFA.com - Latest News

Zaquan sandaran Jang

Oleh Mohd Amin Jalil

PENYERANG kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, tetap menjadi sandaran Negeri Sembilan dalam misi melakar kemenangan ke atas T-Team pada saingan suku akhir Piala FA, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu malam ini.

Walaupun sebelum ini prestasi Zaquan terjejas berikutan kegagalannya menjaringkan gol, dia kini dikatakan sudah kembali mendapat sentuhan jaringan apabila menyumbang dua gol ketika menewaskan Polis, 4-1, Sabtu lalu.

Jurulatih Wan Jamak Wan Hassan, berkata Zaquan taruhan terbaik di barisan depan, namun aksi meyakinkan Shahurain Abu Samah dan S Kunalan, turut dituntut.

“Apa yang saya harap semua pemain dapat beraksi seperti biasa dan mengekalkan persembahan terbaik selain sentiasa fokus kepada usaha mencapai kemenangan,” katanya.

Beliau sedikit khuatir pemain tidak mampu bertahan dari segi kekuatan mental selepas melalui perlawanan padat yang mungkin boleh menjejaskan persembahan mereka.

Tambahan pula katanya, sebahagian besar pemain musim ini adalah kalangan barisan muda yang baru pertama kali menyertai skuad senior dan merasai suasana saingan peringkat tertinggi yang menuntut memperagakan aksi terbaik bagi menjamin kemenangan pasukan.

“Namun kepenatan tidak seharusnya dijadikan alasan sebaliknya mereka perlu mempunyai daya tahan tinggi dengan mengekalkan persembahan konsisten,” katanya.

Wan Jamak berkata, dia tetap yakin skuad bimbingannya mampu mencapai kemenangan kerana dapat menurunkan barisan terbaik selepas semua pemain utama bebas daripada kecederaan.