AFC News

FIFA.com - Latest News

Ferguson yakin tak perlu beli pemain baru


PEMAIN sayap Bayern Munich, Ribery tidak lagi menarik minat Ferguson.

LONDON: Penyokong Manchester United yang mengharapkan Sir Alex Ferguson mungkin memasuki pasaran perpindahan pemain pada saat-saat akhir, pastinya akan berasa kecewa.

Permulaan sederhana juara bola sepak Liga Perdana Inggeris itu musim ini mungkin mengukuhkan kepercayaan kepada segelintir peminat bahawa Ferguson perlu melabur ke atas pemain bertaraf dunia daripada sejumlah besar 80 juta pound (RM472 juta) yang diterima atas penjualan Cristiano Ronaldo, tetapi pengurus itu sekali lagi menolak gesaan untuk berbelanja dan menegaskan bahawa keyakinannya terhadap barisan pemain tidak berubah.

"Saya tahu kami mempunyai skuad yang sempurna dan saya percaya pada mereka," katanya. "Ia satu penghinaan jika mencadangkan saya tidak yakin terhadap pemain dengan cepat."

Selepas gagal dalam usaha mendapatkan Karim Benzema, penyerang Perancis, dan memilih untuk tidak meneruskan minat mendapatkan Franck Ribéry dan David Silva - pemain sayap Bayern Munich dan Valencia - pasaran perpindahan United musim ini agak hambar.

United memberi tindak balas terhadap kekalahan 1-0 di tempat lawan di Burnley dengan membelasah Wigan Athletic, sebelum menang nasib ketika mengatasi Arsenal 2-1 di Old Trafford, Sabtu lalu, walaupun ia musim penting bagi pemain seperti Dimitar Berbatov, Anderson dan Nani, tidak seorang daripada mereka meyakinkan ketika menyarung jersi merah United.

"Kami dibidas selepas perlawanan Burnley, timbul banyak cadangan mengenai apa yang harus saya lakukan - sebagai contoh, mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli nama besar," kata Ferguson.

Sir Alex Ferguson

"Tetapi kita tidak harus secara tiba-tiba mengubah dasar perpindahan hanya kerana satu kekalahan, sekalipun ia sangat buruk. Saya sudah jelaskan strategi kami, berdasarkan kepada keyakinan terhadap beberapa pemain baru, pemain sedia ada semakin matang dan pemain muda semakin meningkat naik.

"Dan saya tidak berhasrat untuk mengubahnya," kata jurulatih berbangsa Scotland itu.

Owen Hargreaves, pemain tengah United, akhirnya dijangka kembali ke kelab itu dari Amerika Syarikat pada 23 September ini tetapi dia harus meningkatkan kecergasannya selepas menjalani pembedahan lutut yang menghalangnya beraksi selama 10 bulan. - Agensi