AFC News

FIFA.com - Latest News

Berbatov gagal

Oleh Saparin Rasikin

DIMITAR Berbatov gagal menyinar apabila 'kembali' ke Tottenham Hotspur dan buat perlawanan ketiga berturut-turut serangan Manchester United tidak menyengat.

Sungguhpun menguasai sebahagian besar permainan, terutama sekali separuh masa kedua, United seri 0-0 dalam perlawanan menarik Liga Perdana England di White Hart Lane awal pagi semalam.

Bukan kerana kurang usaha atau gigih, tetapi yang jelas sentuhan penyudah United tidak berbisa seperti dua perlawanan yang lalu - dengan Sunderland dan AaB Aalborg.

Pujian harus diberikan terhadap kegigihan benteng Tottenham, yang kehilangan kapten Ledley King sebelum perlawanan dan Jonathan Woodgate hanya selepas 10 minit permainan kerana kecederaan lutut.

Begitu juga dengan penjaga gawang Brazil, Heurelho Gomes, yang membuktikan kemajuan prestasinya dengan menyelamatkan kedudukan bahaya, termasuk percubaan Park Ji-Sung dan pemain gantian Ryan Giggs.

Tidak hairan jika pengurus United, Sir Alex Ferguson, begitu kecewa dengan keputusan seri ini kerana terlepas peluang merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Liverpool, yang sebelum ini disekat 2-2 oleh Hull City.

United kekal enam mata di belakang dan jurang dijangka melebar sekembalinya daripada Kejohanan Piala Dunia Kelab di Tokyo, Jepun.

Dan Chelsea, yang dua mata di belakang Liverpool, akan merampas takhta liga jika ia memenangi perlawanan dengan jiran London, West Ham United, tengah malam tadi.

'Sungguh mengecewakan,' kata Ferguson sebagai mengulas keputusan seri dengan Tottenham.

'Kami menguasai sebahagian permainan tetapi tuah tidak menyebelahi kami untuk menjaringkan gol.

'Penjaga gawang (Gomes) bermain cemerlang menyelamatkan dua peluang keemasan dan Rio (Ferdinand) pula tidak bernasib baik apabila tandukannya melewati palang.'

Harry Redknapp turut memuji Gomes dengan berkata: 'Anda dapat menyaksikan peningkatan prestasi dan potensinya sebagai penjaga gawang kelas dunia.'

Dengan sentiasa dibayangi, di samping ejekan para penyokong tuan rumah, Berbatov tidak berpeluang menunjukkan kehebatan bagi mengancam kubu Tottenham.

United jelas berasa 'kehilangan' Wayne Rooney yang digantung dalam perlawanan ini dan Carlos Tevez pula gagal mengulangi ketajamannya seperti semasa mengalahkan Blackburn Rovers dalam perlawanan suku akhir Piala Liga.

Sekalipun lebih banyak bertahan, Tottenham terlebih dahulu menggugat United menerusi percubaan David Bentley pada minit kelapan, yang memaksa Edwin van der Saar melayangkan diri untuk menampar bola keluar.

Penjaga gawang veteran Belanda ini, yang baru menyambung kontrak setahun, sekali lagi bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan Aaron Lennon.

United berpeluang memecahkan kebuntuan apabila Cristiano Ronaldo membuat umpanan silang untuk Berbatov, tetapi Gomes sempat menyelamatkan bola sebelum disambar oleh penyerang Bulgaria itu.

Ferguson memasukkan dua pemain berpengalamannya, Giggs dan Paul Scholes, bagi meningkatkan serangan tetapi mereka gagal menjaring gol meskipun tersaji beberapa peluang keemasan.

Keputusan seri ini mungkin tidak begitu buruk memandangkan kebangkitan Tottenham sejak di bawah pimpinan Redknapp, tetapi Ferguson akan lebih ceria jika pasukannya dapat memungut dua mata tambahan.

Bagaimanapun, dengan satu perlawanan dalam tangan, United masih dapat bersaing mengekalkan mahkotanya selagi ia tidak tercicir mata yang sepatutnya berada dalam genggaman.


Penyerang Bulgaria, Dimitar Berbatov