KATA-KATANYA mungkin berseloroh tetapi ramai tentu masih ingat apa yang pernah dikatakan Luiz Felipe Scolari.
Apa katanya selepas Chelsea disekat 1-1 oleh Bordeaux pada 26 November lalu?
'Jika kami gagal mengalahkan Cluj di padang sendiri, sebaik-baiknya saya pulang sahaja ke Brazil,' kata beliau.
Hari ini tiba masa bagi Chelsea menerima kunjungan CFR Cluj dari Romania dalam perlawanan terakhirnya dalam Liga Juara-Juara Eropah Kumpulan A di Stamford Bridge.
Chelsea perlu menang untuk menjamin tempat ke pusingan kalah mati.
Jika seri, mereka harus berharap Bordeaux gagal memungut mata maksimum dalam pertemuan dengan AS Roma.
Sedang Liverpool, Manchester United dan Arsenal telah melayakkan diri ke pusingan kalah mati, Chelsea diseret sehingga ke perlawanan terakhir untuk menentukan nasibnya dalam pertandingan ini.
Melihat kepada kualiti Chelsea, termasuk penyerangnya, Nicolas Anelka, dan dibandingkan pula dengan Cluj, sukar membayangkan akan berlaku kejutan.
Bahkan, menjelang pertarungan ini, Scolari menambah: 'Sukar membayangkan Chelsea akan terhumban daripada pertandingan ini. Saya mempunyai keyakinan dengan kemampuan para pemain saya. Tetapi kami harus bermain lebih baik daripada biasa.'
Mana-mana pengurus yang mempunyai skuad seperti Chelsea pasti mahu bermegah.
Sebagai contoh, kita ambil kesebelasan utama yang menewaskan Bolton 2-0 dalam pertandingan Liga Perdana England di Stadium Reebok pada Sabtu lalu.
Penjaga gawangnya ialah Peter Cech. Antara tiga barisan pertahanan ialah John Terry, Ashley Cole dan Jose Bosingwa.
Tenaga midfield pula antaranya ialah Frank Lampard, Deco dan Michael Ballack.
Dari segi logik, Chelsea bersama Roma akan mara.
Tetapi seperti kata jurulatih Greece, Otto Rehhagel, pasukan underdog juga mempunyai peluang menang sebagaimana anak didiknya menjulang Euro 2004 di Portugal.
Jika melihat keupayaan Cluj membendung Chelsea 0-0 dalam pertemuan pertama pada 1 Oktober lalu, pandangan Rehhagel wajar diberi perhatian.
Jika diteliti statistik perlawanan itu, Cluj tidak kurang hebat dari segi bilangan percubaannya. Mereka melepaskan 10 rembatan berbanding Chelsea, 11.
Tetapi kali ini, Chelsea tidak mungkin mensia-siakan peluang jaringannya itu, terutama Anelka, yang turut menjadi penyumbang semasa pasukannya menewaskan Bolton.
Melihat kepada kesebelasan utama Chelsea, tiada sesiapa yang meragukan keupayaan mereka meneruskan langkah perjuangannya.
Tetapi yang menjadi tanda tanya apakah Scolari akan meletakkan jawatannya jika Chelsea gagal ke pusingan kalah mati?
Ada kemungkinan, sama ada meletakkan jawatan ataupun dipaksa melepaskan jawatan itu.
Jika kami gagal mengalahkan Cluj di padang sendiri, sebaik-baiknya saya pulang sahaja ke Brazil - Scolari