AFC News

FIFA.com - Latest News

Amaran awal Rajagobal

SEBAIK dilantik, ketua jurulatih skuad kebangsaan, K Rajagobal mula melaung amaran awal buat mana-mana pemain senior termasuk tidak akan teragak-agak untuk menggugurkan individu yang tidak menunjukkan prestasi membanggakan.

“Saya mempunyai kelompok pemain yang besar sekarang. Justeru, mana-mana pemain di dalam skuad senior yang tidak menunjukkan prestasi sebenar, dia berdepan kemungkinan disingkirkan,” kata Rajagobal.

Jika diperhalusi, apa yang diperkatakan bekas ketua jurulatih skuad muda negara itu amat bertepatan sekali kerana beliau bukan saja bertanggungjawab terhadap skuad senior negara tetapi juga pasukan bawah 23 tahun kebangsaan.

Dua minggu lalu, namanya dipilih untuk menerajui pasukan bawah 23 tahun kebangsaan yang bakal mengibar cabaran di temasya Sukan Sea, Laos, Disember ini dan semalam, beliau dipilih menggalas tugas lebih besar - membimbing pasukan senior negara.

Namanya menjadi pilihan paling baik buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas badan induk kebangsaan itu gagal mencari jalan penyelesaian dengan ketiga-tiga calon yang disebut-sebut sebelum ini iaitu Mohd Azraai Khor Abdullah (Kedah), Dollah Salleh (Shahzan Muda) dan K Devan (Selangor).

Pemilihannya diumumkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad pada sidang akhbar di Wisma FAM petang semalam yang turut dihadiri pengurus skuad senior negara, Datuk Gulzar Mohamed Noor dan Setiausaha Agung, Datuk Azzuddin Ahmad.

Pengumuman yang dibuat Redzuan itu sekali gus menjawab semua persoalan yang timbul sejak beberapa bulan lalu mengenai siapakah calon terbaik yang akan menggantikan tempat B Sathianathan yang ditamatkan kontraknya, Februari lalu.

Dengan pemain bawah 23 tahun sebagai sandaran, Rajagobal pantas mengingatkan semua pemain di dalam skuad senior supaya lebih bertenaga serta menunjukkan prestasi sebenar kerana ruang untuk digantikan dengan pemain lain kini sudah semakin besar.