AFC News

FIFA.com - Latest News

Chelsea tak mahu main bola: Guardiola



PEMAIN Chelsea, Michael Ballack (jersi kuning) menyekat kemaraan tonggak Barcelona, Samuel Eto'o dalam saingan separuh akhir pertama di Stadium Nou Camp yang menyaksikan ramai pemain tuan rumah cedera.

'Tidak kena kami dapat jumlah kad kuning sama dengan mereka'

BARCELONA: Jurulatih Barcelona, Pep Guardiola berang dengan apa yang dilihat sebagai 'sikap berlembut pengadil' terhadap pendekatan fizikal barisan England, Chelsea dalam saingan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi semalam.

Chelsea pulang dengan misi sempurna selepas mereka berjaya mengekang asakan Barcelona di Nou Camp dan menjadi pasukan pertama, musim ini menghalang Barca daripada menjaringkan gol di tempat sendiri.

Seperti dijangkakan, jentera serangan tuan rumah diketuai Lionel Messi mengasak Chelsea bertubi-tubi dan menikmati hampir seluruh penguasaan bola tetapi gagal untuk menemui laluan mendapatkan jaringan buat pertama kali dalam kejohanan ini di halaman sendiri.

Petr Cech membuat beberapa halangan penting daripada Samuel Eto’o dan pemain gantian, Alexandr Hleb tetapi mereka sering dipaksa untuk meledakkan jaringan daripada jarak jauh.

“Ia adalah sukar untuk bermain menentang pasukan yang tidak mahu bermain bola sepak,” luah Guardiola yang berusia 37 tahun itu dalam keadaan marah.



“Ia adalah perlawanan yang menyaksikan Chelsea menurunkan enam pertahanan dan bola itu sentiasa berlegar antara Cech ke (Didier) Drogba dan kemudian ke belakang dan kembali ke depan sekali lagi.

“Keputusan itu adalah adil, kerana tiada antara dua pasukan itu menjaringkan gol tetapi terdapat sesuatu yang tidak kena apabila kami mendapat jumlah kad kuning sama dengan mereka sungguh pun mereka melakukan 20 kekasaran berbanding hanya tujuh.”

Begitu pun jurulatih Chelsea, Guus Hiddink memuji watak pemain atas kekentalan mereka menghalang barisan penyerang bintang Barca daripada menjaringkan gol.

“Ia adalah keputusan bagus tetapi perlawanan ini belum ditentukan lagi dan kami mempunyai satu lagi perlawanan sukar di depan kami,” kata Hiddink yang menang gelaran ketika menjadi jurulatih PSV Eindhoven pada 1988. - Agensi