AFC News

FIFA.com - Latest News

Jerman tanpa Ballack

BERLIN: Kapten Michael Ballack akan terlepas beraksi untuk Jerman dalam dua perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Liechtenstein dan Finland kerana cedera.

Demikian dinyatakan jurulatih Jerman, Joachim Loew, kelmarin.

'Tidak mungkin beliau dapat bermain dalam kedua-dua perlawanan tersebut,' kata Loew dalam wawancara dengan televisyen ZDF.

Beliau berkata demikian memandangkan kecederaan pada kaki kiri bintang midfield itu memerlukan masa lebih lama untuk sembuh.

Keadaan itu menimbulkan masalah di bahagian tengah jentera midfield Jerman, lebih-lebih lagi Torsten Frings juga terlepas kedua-dua perlawanan kelayakan Kumpulan Empat Eropah ini kerana mengalami patah batang hidung semasa bermain bola keranjang.

Jerman dijadualkan menentang Liechtenstein di Vaduz Sabtu ini dan menentang Finland di Helsinki pada 10 September ini.

Ballack sekadar penonton semasa Jerman seri 1-1 dengan Bayern Munich dalam perlawanan testimonial bagi bekas penjaga gawang nasional, Oliver Kahn, kelmarin.

Gol terakhir yang membolosi Kahn dijaringkan oleh rakan pertahanannya sendiri, Breno, sebelum Miroslav Klose menyamakan kedudukan dalam separuh masa pertama. / Reuters