AFC News

FIFA.com - Latest News

Robinho akan bantu City jadi juara EPL

LONDON: Muka baru Manchester City, Robinho, ingin membantu pasukan itu menjuarai pertandingan Liga Perdana England.

Demikian ditegaskan oleh Robinho yang dibeli dari kelab Real Madrid dengan wang pemindahan sebanyak £32 juta.

'Saya ingin membantu perjuangan pengurus pasukan dan juga kelab ini untuk menjuarai Liga Perdana England. Itu menjadi cita-cita saya dengan kelab ini,' kata Robinho dalam interviu yang pertama sejak menyertai City.

'Saya sedar City adalah kelab besar yang mempunyai projek menarik pada masa depan,' tambah pemain Piala Dunia Brazil itu.

Sebelum ini, Robinho lebih berminat meneruskan kerjayanya dengan kelab Chelsea tetapi City, yang dibeli kumpulan syarikat dari Amiriah Arab Bersatu (UAE), berjaya melamar bekas pemain Real Madrid itu sebelum tarikh penutup pemindahan pemain pada 1 September.

Dengan kehadiran Robinho, City kini mempunyai tiga pemain Brazil. Dua lagi ialah Jo dan Elano.

'Saya beraksi di samping Jo dan Elano dalam pasukan Brazil.

'Antara sebab kenapa saya memilih untuk menyertai City ialah pasukan ini mempunyai pemain-pemain yang baik,' ujar Robinho, 24 tahun, yang mengikat kontrak empat tahun dengan City.

Robinho dijadualkan tiba lewat semalam untuk menemui pengurus pasukan City, Mark Hughes.

Sejak berita Robinho akan menyertai City, ramai peminat kelab itu telah membeli jersi kelab tersebut, Robinho 10.

'Saya berasa berbesar hati dengan sambutan ini dan saya berikrar akan membalas penghargaan itu dengan beraksi dengan biak di medan pertempuran nanti.

'Seboleh-bolehnya, saya ingin menjaringkan gol sebanyak mungkin,' kata Robinho, yang akan mewakili negaranya dalam kelayakan Piala Dunia menentang Chile dan Bolivia. / Reuters