AFC News

FIFA.com - Latest News

Nasri akan lakukan apa saja demi Perancis

PARIS: Pemain muda Arsenal, Samir Nasri, akan melakukan apa sahaja untuk melenyapkan kepedihan kegagalan Perancis dalam pertandingan Euro 2008 sekalipun itu bermakna beliau akan terlepas berpuasa dalam Ramadan ini.

Pemain midfield yang disertakan dalam skuad Perancis bagi menentang Austria itu akan menggunakan pertarungan ini sebagai membuktikan bahawa Perancis adalah pasukan yang wajar disegani dalam pertandingan antarabangsa.

Perancis akan menentang Austria dalam kelayakan Piala Dunia Sabtu ini dan kemudian Serbia pada 10 September.

'Orang selalu menyebut kegagalan Perancis dalam Euro 2008 sebagai satu pengalaman pahit tetapi saya tidak berfikir begitu,' jelas Nasri selepas mengikuti latihan skuad Perancis kelmarin.

'Apabila anda mengalami kegagalan pada usia muda, anda akan berusaha tidak mengulangi kesilapan itu.

'Maka itu, kami begitu ghairah hendak menebus kegagalan itu dan membuktikan potensi kami sebagai sebuah pasukan yang mempunyai kualiti,' tambah Nasri selanjutnya.

Menurutnya, beliau akan menghadapi masalah untuk berpuasa dalam Ramadan kerana jadual latihan dan perlawanan-perlawanan.

Bekas pemain kelab Marseille itu kemudian berkata beliau begitu selesa dengan suasana kehidupan di London.

'Saya selesa dengan suasana di sini. Arsenal mempunyai ramai pemain muda. Yang penting, ramai juga yang boleh bertutur bahasa Perancis. Tetapi dalam bilik persalinan, mereka bertutur dalam bahasa Inggeris. Ini agak menyulitkan,' beliau menambah.

Mengenai kemenangan 3-0 Arsenal ke atas Newcastle United Sabtu lalu, Nasri berkata Arsenal telah membuktikan gaya permainan pasukan itu yang sebenar.

'Saya berasa seronok beraksi dalam pasukan Arsenal. Saya harap dapat memberikan sesuatu kepada pasukan Arsenal.

'Para pemain dalam pasukan Arsenal terdiri daripada antara pemain terbaik Eropah.

'Dari itu, permainannya boleh meningkat ke tahap permainan pasukan Perancis,' ujarnya lagi.

Sementara itu, jurulatih Perancis, Raymond Domenech, akan membuat dua pertukaran dalam pasukan Perancis kerana Hatem Ben Arfa dan Patrick Vieira mengalami kecederaan.

Tempat masing-masing akan diambil alih oleh Jimmy Briand dan Mathieu Flamini, bekas pemain Arsenal.

'Vieira adalah pemain penting tetapi beliau mengalami kecederaan dan setiap pemain berharap beliau akan pulih secepat mungkin,' kata Flamini mengenai bekas kapten Arsenal itu. / AFP