Pengurus Liverpool Rafael Benitez menolak khabar angin yang mengaitkannya dengan perpindahan ke Juventus dari Anfield.
Kontrak Benitez yang masih berbaki 18 bulan menarik minat kelab-kelab terkemuka Eropah untuk mendapatkan khidmatnya.
Juventus menjadi pasukan pilihan untuk mendapatkan khidmat Benitez berikutan prestasi hambar Claudio Ranieri di kelab gergasi Turin itu.
Awal tahun ini, pemilik Liverpool Tom Hicks mengumumkan akan melanjutkan kontrak Benitez tetapi sehingga kini jurulatih berbangsa Sepanyol itu masih tidak menerima sebarang tawaran baru.
Benitez menegaskan dia tidak bimbang dengan situasi tersebut dan berharap akan mendapat kontrak jangka panjang untuk menjalankan perancangannya di Merseyside.
“Saya tidak risau dengan situasi itu buat masa ini. Saya cuba menjadi praktikal mengenainya dan akan fokus mengenai perkara yang saya boleh perbaiki.
“Saya hanya boleh mengawal perkara yang berlaku di padang, memperbaiki pasukan dan jika boleh melakukannya, tugas saya akan menjadi lebih mudah pada masa hadapan.
“Kontrak saya masih berbaki dua tahun dan saya gembira berada di sini. Saya cuma mencuba untuk menjalankan tugas saya sebaik yang mungkin. Saya mahu kekal di sini untuk jangka masa panjang dan pendirian saya masih sama,” kata Benitez.
Benitez yang menguruskan Liverpool untuk musim kelimanya percaya kelab itu boleh maju jika mereka mempunyai perancangan jangka masa panjang dan yakin dengan kemampuan pengurus.
“Anda boleh menganalisis situasi yang dihadapi kelab lain di England buat masa ini. Masalah di England adalah semua orang ingin berjaya dalam masa singkat.
“Ianya adalah salah satu aspek bola sepak yang tidak saya gemari. Saya lebih suka kontrak jangka masa panjang kerana saya dapat membuat perancangan jangka masa panjang,” tambahnya.