Pemain tinggi lampai Peter Crouch yakin gandingan mantapnya bersama Jermain Defoe di Portsmouth boleh membantu England jika kedua-dua pemain itu terpilih untuk pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Kazakhstan dan Belarus.
Kedua-dua pemain itu mempunyai kombinasi yang baik sejak Crouch berhijrah dari Liverpool ke Fratton Park.
Kini Crouch dipanggil pengurus England Fabio Capello selepas digugurkan dalam dua perlawanan lalu.
Crouch dan Defoe terpaksa bersaing sengit dengan Emile Heskey dan Wayne Rooney untuk mengisi kesebelasan utama tetapi bekas pemain Liverpool itu percaya dia dan Defoe sentiasa bersedia jika diperlukan Capello.
“Saya percaya ianya membantu kerana kami beraksi bersama-sama di peringkat kelab. Jika kami menghabiskan masa di padang bersama England, kami akan menggunakan aksi sama seperti di Portsmouth.
“Kami belum berbincang berhubung aksi mewakili England bersama-sama namun ia adalah pilihan. Ia akan memberi kelebihan kepada kami di mana kami akan bergandingan bersama-sama dengan lebih kerap.
“Sejujurnya, saya beraksi dengan Defoe ketika mewakili skuad bawah 21 tahun England. Amnya, gandingan mantap kami akan membantu saingan peringkat antarabangsa. Namun, England memiliki ramai penyerang handal yang ingin beraksi seperti kami,” jelas Crouch.
Tambah Crouch, anak buah Capello perlu lebih berhati-hati ketika melayan kunjungan Kazakhstan Sabtu ini.
Crouch, 27, sering diturunkan ketika di bawah pimpinan Harry Redknapp selepas kecewa kerana sering memanaskan bangku simpanan ketika bersama Liverpool.
Menurut Crouch, dia bangga menyertai Portsmouth kerana kerap diturunkan, tidak seperti ketika bersama Liverpool musim lalu.