PETALING JAYA - Malaysia dilihat mendapat laluan selesa ke saingan separuh akhir dalam usaha mempertahankan kejuaraan pada kejohanan bola sepak Pestabola Merdeka edisi ke-40 yang akan berlangsung dari 15 hingga 25 Oktober ini di dua lokasi di Lembah Klang.
Bagaimanapun skuad negara bimbingan B Sathianathan itu terlebih dahulu perlu mengisi dua slot daripada Kumpulan A, ketika satu tempat seolah-olah telah ditempah oleh Sierra Leone, untuk mara ke separuh akhir.
Hakikat ini diakui oleh Sathianathan berdasarkan beberapa pemain dari negara tersebut kini bermain di Eropah dan mungkin dipanggil untuk menguatkan skuad Sierra Leone ke Malaysia.
“Jika skuad negara itu tidak membawa bersama pemain yang berpangkalan di Eropah pun, skuad tersebut tetap pesaing kuat kerana pasukan mereka telah menunjukkan mutu yang diterima di Eropah,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Sathianathan berkata kelebihan pasukan Sierra Leone itu memaksa Malaysia untuk merebut satu lagi slot bersama Nepal dan Afghanistan.
Pada edisi ke-39 tahun lepas, skuad Sathianathan muncul juara selepas menumpaskan Myanmar 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam untuk mengakhiri kemarau kejuaraan itu selama 14 tahun.
Pada saingan Pestabola Merdeka yang akan diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Stadium Shah Alam, Malaysia ditempatkan dalam Kumpulan A bersama Sierra Leone, Nepal dan Afghanistan.
Kumpulan B terdiri daripada Myanmar, Mozambique, Bangladesh dan Vietnam.
Perlawanan akhir akan diadakan pada 25 Oktober di venue yang belum ditentukan lagi.
Ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi bulan ini menunjukkan Sierra Leone menduduki ranking tertinggi bagi pasukan dalam Kumpulan A (133) diikuti Malaysia (160), Nepal (175) dan Afghanistan (182).
Sementara bagi Kumpulan B, Mozambique (100), Myanmar (157), Vietnam (165) dan Bangladesh (179).
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Lt Jen (B) Datuk Azzuddin Ahmad dalam sidang medianya berkata Pestabola Merdeka yang secara tradisinya diadakan pada bulan Ogos sempena bulan kemerdekaan negara terpaksa ditunda kerana Sukan Olimpik.
“September pula adalah bulan Ramadan. Jadi terpaksa ditunda pada Oktober ini,” katanya.
Beliau berkata dari 15 hingga 20 Oktober, sebanyak dua perlawanan akan diadakan setiap hari sama ada di Stadium MBPJ atau Stadium Shah Alam.
Perlawanan pertama bermula jam 6.30 petang dan perlawanan kedua pada 8.45 malam. Tiket bagi pusingan awal berharga RM10 sementara tiket bagi separuh akhir dan akhir berharga RM20, yang akan mula dijual pada jam 4 petang pada setiap hari perlawanan di stadium tersebut.
Mengenai ketiadaan negara Asean seperti Indonesia, Singapura dan Thailand, Azzuddin berkata pasukan-pasukan tersebut kini sibuk menghabiskan baki saingan liga tempatan di negara masing-masing.