|
|
MADRID - Dengan Piala Raja Sepanyol sudah dirangkul, Barcelona hanya memerlukan satu mata ketika berdepan Real Mallorca awal pagi Isnin ini untuk menjulang kejuaraan Liga Sepanyol buat kali ke-19.
Rabu lalu, Barcelona menewaskan Athletic Bilbao 4-1 untuk merangkul Piala Raja Sepanyol.
Kini, mereka berpeluang meraih kejuaraan liga lebih awal andai Real Madrid gagal menewaskan Villarreal awal pagi esok.
"Jika kami sah sebagai juara kerana kegagalan Real mencatat kemenangan, ia sesuatu yang sangat baik.
"Tetapi jika mereka (Real) menang juga, kami akan ke Mallorca dan memena- ngi perlawanan itu untuk mengesahkan kejuaraan," kata kapten Barcelona, Carles Puyol.
Barisan Barcelona bimbingan Pep Guardiola kini berkelebihan lapan mata berbanding Real dengan baki tiga perlawanan.
Satu mata sudah memadai buat Barcelona muncul juara kerana mereka memiliki perbezaan gol yang cukup besar berbanding Real.
Minggu lalu, Barcelona terlepas peluang untuk mengesahkan kejuaraan di hadapan penyokong sendiri apabila sekadar seri 3-3 dengan Villarreal di Nou Camp.
Sementara itu, penjaga gol Real, Iker Casillas menggesa kelabnya supaya membawa masuk tiga pemain Sepanyol yang beraksi untuk Valencia musim ini iaitu Juan Mata, David Villa dan David Silva.
"Saya bukan xenofobia (gerun pada orang asing) tetapi saya rasa pemain-pemain seperti Villa, Mata dan Silva akan lebih cergas jika beraksi dengan kelab seperti Real," kata Casillas. - AFP