AFC News

FIFA.com - Latest News

MU makin hampir



RONALDO (kanan) meraikan jaringannya bersama Patrice Evra ketika menentang Manchester City di Old Trafford, malam tadi.

Kembali di puncak kelebihan tiga mata

MANCHESTER: Carlos Tevez membantu Manchester United untuk kian hampir dengan gelaran Liga Perdana Inggeris selepas skuad bimbingan Sir Alex Ferguson mudah membenam tentangan Manchester City di Old Trafford, malam tadi.

Tevez, masa depannya di United belum ketentuan, menjaringkan gol ketika kemenangan 2-0 yang membolehkan United kini berkelebihan tiga mata di tangga teratas dengan baki tiga perlawanan.

Gol ke-26 Cristiano Ronaldo musim ini membolehkan tuan rumah memiliki pendahuluan awal sebelum Tevez menggandakan kelebihan sejurus sebelum rehat.

Tevez yang menyertai United pada 2007 dengan perjanjian pinjaman dua tahun yang berakhir musim panas nanti meraikan gol ke-14 musim ini dengan meluru ke arah tempat duduk utama, hampir dengan di mana pengurus United itu berada, dan menekup cuping telinganya ketika penonton menjeritkan ‘Fergie, Fergie, ikatlah dia.’

Kemenangan itu menyaksikan United hanya perlu empat mata daripada baki tiga perlawanan untuk dimahkotakan selaku juara liga dan menyamai rekod 18 kali milik Liverpool.

Tevez

Liverpool, selaku pencabar utama mereka, tidak beraksi sehingga Ahad depan - detik di mana mungkin segalanya sudah berakhir kerana United akan bertemu Wigan pada Rabu sebelum menanti Arsenal, Sabtu nanti.

Pengurus Liverpool, Rafael Benitez sebelum ini memang amat mengharapkan United akan tercicir mata tetapi hakikatnya, barisan kendalian Ferguson kini menamatkan musim dengan gaya penuh meyakinkan.

Kemenangan semalam adalah kejayaan liga keenam berturut-turut sejak dua kekalahan di tangan Liverpool dan Fulham, Mac lalu. - AFP