MANCHESTER - Manchester United menanti kunjungan Arsenal di Old Trafford malam ini bagi mengesahkan gelaran juara Liga Perdana England buat musim ketiga berturut-turut.
Skuad Red Devils itu hanya memer- lukan satu mata daripada dua perlawanan terakhir mereka untuk menjulang kejuaraan liga buat kali ke-18 dan kali ke-11 di bawah kendalian Alex Ferguson.
Menyedari impian mereka hampir tercapai, pemain tengah United, Mi- chael Carrick melaungkan keyakinan pasukannya mampu meraikan kejayaan menjulang trofi Liga Perdana England di stadium yang digelar Theatre of Dreams itu.
"Segalanya baik bagi kami ketika ini. Saya rasa hanya sekali sebelum ini United pernah mengesahkan kejuaraan di tempat sendiri.
"Jadi ia sesuatu yang menakjubkan jika kami dapat melakukannya sekali lagi. Tetapi kami tetap kena hormati Arsenal dan kami masih perlu melakukan tugas dengan baik pada perlawanan ini," kata Carrick.
Perlawanan malam ini juga mungkin menjadi aksi terakhir Carlos Tevez di Old Trafford bersama United jika perpindahannya pada penghujung musim ini menjadi kenyataan.
"Dia (Tevez) merupakan pemain hebat dan gol-gol yang dijaringkannya sejak dia berada di sini sentiasa menjadi gol penting buat pasukan ini.
"Kalau boleh kami tidak mahu kehilangan mana-mana pemain kerana kami sudah memiliki skuad yang mantap dan harap kami semua akan kekal bersama," jelas Carrick.
Kemenangan ke atas Arsenal malam ini pasti menjadi kenangan manis buat penyokong fanatik United.
Ini kerana, Arsenal menang 1-0 ke atas United di Old Trafford pada 2002, sekali gus dinobatkan selaku juara liga.
Sementara itu, tonggak pertahanan United, Rio Ferdinand dijangka tidak dapat diturunkan kerana masih bergelut dengan kecederaan betis.
Arsenal pula kembali diperkuatkan dengan kehadiran Andrey Arshavin, namun penjaga gol utamanya, Manuel Almunia masih belum pulih daripada kecederaan buku lali. - AFP