AFC News

FIFA.com - Latest News

FAM buru kelompok 130 terbaik




SKUAD bola sepak negara ada misi baru tahun depan.
Ini kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menyasarkan skuad negara perlu menduduki kelompok 130 pasukan terbaik dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin memberitahu, sasaran itu telah diputuskan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah selepas skuad negara berjaya memperbaiki kedudukan daripada tangga ke-166 dunia pada Julai lepas kepada ranking ke-151 dunia bulan ini.

"Amanat ini adalah daripada titah Tuanku Presiden sendiri yang mahu kita meletakkan satu matlamat utama untuk meningkatkan ranking kita pada tahun depan," kata Khairy pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM V di Wisma FAM semalam.

"Tiada sasaran spesifik bagi kedudukan ranking ini, cuma cukuplah jika kita mahu skuad negara berada dalam kelompok 130 ranking dunia.

"Jadi untuk mencapai sasaran tersebut, FAM akan mengatur lebih banyak perlawanan antarabangsa berkelas A yang melibatkan skuad senior negara dengan pasukan kebangsaan negara lain."


SKUAD bola sepak negara kini berada pada ranking ke-151 dunia.


Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad negara dalam ranking FIFA ialah ketika menduduki tangga ke-75 pada Ogos 1993.

Pada April tahun ini, ranking skuad negara jatuh mendadak apabila menduduki tangga ke-170 dunia, pencapaian terburuk sejak tahun 1993.

Selepas memperbaiki kedudukan ke-162 dunia Ogos lepas, kejayaan muncul naib juara Pestabola Merdeka pada Oktober lalu menyaksikan skuad negara membaiki pencapaian untuk berada pada ranking ke-151 dunia.

Khairy turut menambah bahawa matlamat utama FAM pada tahun 2009 ialah memberi tumpuan pada temasya Sukan SEA di Laos.

"Jika tahun ini matlamat kita Piala Suzuki AFF, maka tahun 2009 pula keutamaan kita pada Sukan SEA di Laos Disember nanti.

"Oleh itu, FAM akan menetapkan jadual latihan dan persiapan skuad bawah 23 negara untuk memenuhi matlamat kami dengan menjuarai acara bola sepak pada temasya Sukan SEA itu," kata Khairy lagi.

Dalam pada itu, FAM telah mengarahkan jurulatih negara, B. Sathianathan segera memperbaiki kelemahan dalam pasukannya ekoran kekalahan 1-4 kepada Myanmar pada peringkat separuh akhir Piala Cabaran Grand Royal Selasa lalu.

"FAM amat kecewa dengan prestasi skuad negara pada kejohanan itu," kata Khairy.

"Setelah menilai laporan prestasi pasukan daripada Sathianathan, FAM telah arahkan supaya kelemahan-kelemahan ini diperbaiki dengan segera sebelum kempen Piala Suzuki AFF bulan depan.

"Kami juga telah jelaskan kepada Sathia bahawa kami akan menilai kontraknya berdasarkan prestasi pasukan dalam kempen tersebut."