AFC News

FIFA.com - Latest News

Sentuhan Karathu tetap ditagih


KARATHU (kanan) pernah membimbing skuad Perak sebelum ini.


PENYOKONG setia Skor Yob Skor tetap menagih sentuhan M. Karathu bagi membimbing skuad bola sepak Perak musim depan, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Sehubungan itu, mereka meminta ahli majlis Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) yang dipimpin Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya meniimbangkan kedudukan Karathu sebagai jurulatih.

Mereka percaya Karathu mampu mengembalikan kekuatan Perak dalam kelompok pasukan elit sekalipun skuad Seladang itu kehilangan ramai tonggak utama yang berhijrah.

Presiden Kelab Peminat Bola Sepak Perak (KPBP), Abdul Jamil Othman percaya Perak masih mampu menjadi antara pencabar terkuat dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) yang bermula 3 Januari depan.

"Perak tidak akan menjadi pasukan belasahan musim depan kerana kekuatan Seladang belum luntur," jelas Abdul Jamil kepada Kosmo! semalam.

"Jadi saya berharap ahli majlis Pafa menyegerakan pemilihan jurulatih Perak kerana saingan musim depan semakin hampir.

"Saya percaya pengalaman luas Karathu mampu digunakan untuk membina semula kekuatan skuad Seladang selain tenaga tambahan daripada pemain muda yang bakal menyarung jersi Perak."

Difahamkan, ahli majlis Pafa yang baru dilantik bagi sesi 2008 hingga 2010 akan mengadakan mesyuarat pertamanya Sabtu ini, sekali gus bakal menamakan pengurus dan jurulatih Perak yang baru.