AFC News

FIFA.com - Latest News

Keputusan AFF diputus hari ini

KEPUTUSAN mengenai kedudukan Thailand selaku tuan rumah saingan Kumpulan B Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) akan diputuskan hari ini.

Setiausaha Eksekutif AFF, Datuk Yap Nyim Keong berkata, satu mesyuarat akan diadakan hari ini bagi mencari kata putus sama ada Thailand kekal sebagai tuan rumah atau sebaliknya.

"Kita sebenarnya masih memerlukan masa untuk mengetahui keadaan sebenar yang berlaku di negara itu," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat dengan beberapa wakil anggota AFF semalam.

Selain tuan rumah Thailand, kumpulan B akan disertai oleh Malaysia, Laos dan Vietnam manakala kumpulan A akan disertai oleh tuan rumah Indonesia bersama Myanmar, Singapura dan Kemboja yang dijadualkan bermula Sabtu depan.

Sejak Ogos lepas, Thailand dilanda krisis apabila penyokong Perikatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD) mengadakan rusuhan anti-kerajaan di beberapa empat dalam usaha mereka menggulingkan kerajaan sekarang.

Perkembangan terkini menyaksikan Kedutaan Malaysia di Bangkok sedang mengatur untuk menyediakan sebuah pesawat tentera khas bagi membawa balik rakyat Malaysia yang terkandas di negara itu berikutan penutupan Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Don Muang di ibu negara itu sejak Isnin.

Pada Selasa lalu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Abdul Rahim Bakri telah menasihatkan rakyat Malaysia yang berhasrat untuk mengunjungi Thailand supaya berhati-hati dan mengikuti perkembangan semasa di negara itu.

Nyim Keong berkata, AFF telah pun menerima surat jaminan daripada Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) tentang keselamatan pasukan-pasukan yang bertanding di negara itu.

"Namun surat jaminan itu bukanlah daripada kerajaan di negara itu cuma daripada FAT," katanya.

Dia juga menafikan Thailand ada mencadangkan gelanggang alternatif bagi menganjurkan kejohanan itu iaitu di Chiang Mai yang pernah menjadi tuan rumah Sukan SEA 1995.

"Saya telah meminta kerjasama Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad supaya sentiasa berhubung terus dengan Wisma Putra bagi mengetahui keadaan sebenar di Thailand," katanya.

Nyim Keong juga enggan mengulas ketika ditanya sama ada Vietnam akan diberikan hak penganjuran itu atau Indonesia akan menjadi penganjur tunggal kejohanan.

Sementara itu Malaysia akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Singapura di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya petang ini sebagai persiapan terakhir menghadapi kejohanan berkenaan.