AFC News

FIFA.com - Latest News

Peluang Remaja Jalani Latihan Bola Sepak Dengan Chelsea

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Seramai 300 remaja yang berbakat dalam sukan bola sepak hadir di padang Majlis Sukan Negara di sini hari ini bagi sesi pemilihan untuk program realiti televisyen yang dikenali sebagai "Super Soccer Star" yang akan bermula pada 7 Jan tahun menerusi RTM 2.

Pengarah Operasi Nafalia Corporation Sdn. Bhd. Mohd Najib Jaafar berkata tujuan program itu ialah bagi mencungkil bakat baru dari kalangan remaja supaya mereka dapat digilap untuk menjadi pemain bertaraf profesional.

Beliau berkata kumpulan remaja itu dalam lengkongan usia antara 13 hingga 16 adalah daripada lebih 5,000 pemohon yang telah ditapis dan daripada jumlah 300 itu cuma 20 peserta akan dipilih.

Bercakap kepada pemberita ketika sesi pemilihan, beliau yang juga penerbit rancangan itu berkata pemain yang terpilih akan berada di bawah tangggungjawab bekas jurulatih Pahang, Ahmad Yusof selama tiga bulan.

Mohd Najib berkata sepanjang program itu berlangsung, satu atau dua orang pemain akan disingkirkan pada setiap episod berdasarkan prestasi semasa yang ditunjukkan semasa ujian atau perlawanan persahabatan dengan markah 40 peratus daripada panel jurulatih dan 60 peratus lagi daripada khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya.

Katanya empat pemain yang kekal hingga akhir dalam program itu berpeluang untuk berlatih dan bermain dengan para pemain akademi bola sepak pasukan Chelsea F.C seminggu iaitu pada penghujung bulan Mac.

"Kemudian setelah mendapat pandangan daripada jurulatih di sana, pemenang utama akan dipilih daripada empat pemain itu. Beliau seterusnya akan berada sekurang-kurangnya dua minggu di sana bagi latihan percubaan rasmi dan jika berjaya dia mungkin akan diserapkan ke akademi bola sepak Chelsea," katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Datuk Kamaruddin Siaraf ketika merasmikan program itu berharap setiap peserta akan berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak melepaskan peluang keemasan berlatih di akademi bola sepak Chelsea F.C.

-- BERNAMA