AFC News

FIFA.com - Latest News

Medan ujian bakat muda

BERLIN - England dan Jerman yang mengetuai kumpulan masing-masing dalam pusingan kelayakan bola sepak Piala Dunia bakal menggunakan pertemuan persahabatan hari ini sebagai medan menguji bakat baru.

Tuan rumah kehilangan beberapa nama besar akibat kecederaan, namun jurulatih, Joachim Loew bersedia memperkenalkan bintang sedang meningkat Jerman di Stadium Olimpik, Berlin.

Jurulatih England, Fabio Capello juga memanggil beberapa muka baru untuk membuat penampilan sulung, sekali gus memberi peluang kepada mereka mencuri tumpuan.

Jerman turun tanpa kapten dan bintang tengah, Michael Ballack, selain Philipp Lahm dan Torsten Frings, manakala England tanpa Frank Lampard, Steven Gerrard, Ashley Cole, Rio Ferdinand, Michael Owen dan David Beckham.

Pada ketika sasaran untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan sudah cukup cerah buat kedua-dua pasukan, perlawanan hari ini digunakan oleh jurulatih untuk menguji sejauh mana pemain muda mereka bersedia menangani situasi berdepan pasukan besar.

"Anda tidak perlu bercakap mengenai kekuatan England, mereka tetap pasukan yang kuat sekali pun dengan masalah kecederaan.

"Mereka tidak pernah kalah dalam kelayakan Piala Dunia, itu saja sudah cukup untuk bercakap tentang pasukan itu.

"Kami mahu menggunakan perlawanan ini sebagai eksperimen, setakat ini apa yang kami lakukan dalam beberapa perlawanan persahabatan agak berjaya, jadi mahu lakukan perkara yang sama,'' kata Loew.

Prestasi baik Hoffenheim dalam saingan liga utama Jerman meletakkan kelab itu di tangga kedua ketika ini, justeru Loew memanggil dua tonggak mereka yang tidak pernah menyarung jersi Jerman - pemain pertahanan, Marvin Compper dan pemain tengah, Tobias Weis.

Turut dipanggil buat kali pertama adalah pertahanan Wolfsburg, Marcel Schaefer. Ketiga-tiga pemain sebelum ini hanya menjadi penonton sepanjang kempen Euro 2008, Jun lalu, dan peluang beraksi buat skuad kebangsaan akan digunakan sepenuhnya untuk menonjolkan diri.

Seperti Loew, Capello juga mahu menguji kemampuan beberapa pemain muda berbakat England untuk menangani tekanan beraksi dalam perlawanan berprofil tinggi.

Jurulatih dari Itali itu memanggil lima pemain daripada skuad bawah 21 tahun untuk membuat penampilan sulung bersama pasukan senior, antaranya gandingan Aston Villa - Gabriel Agbonlahor dan Curtis Davies, selain pertahanan Chelsea berusia 20 tahun, Michael Macienne.

Menurut Capello, dia hanya mengambil risiko untuk menurunkan maksimum dua muka baru pada satu masa, namun ketiadaan bintang-bintang utama membolehkannya menggunakan perlawanan untuk memberi pengalaman kepada generasi baru England.

Ini merupakan pertemuan ke-31 di antara England dan Jerman. England menang 14 perlawanan, manakala Jerman menang 10.

Bagaimanapun, Jerman memenangi pertemuan terakhir di London, Ogos tahun lalu apabila jaringan Kevin Kuranyi dan Christian Pander membantu mereka menang 2-1 dalam perlawanan sulung di stadium baru Wembley.

Penyerang England, Darren Bent menegaskan, pasukannya beraksi tanpa tekanan ketika ini kerana telah mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2010 yang baik - menang kesemua empat perlawanan.