AFC News

FIFA.com - Latest News

Pendekatan komprehensif, holistik selamatkan bola sepak negara

GESAAN Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar pendekatan komprehensif dan holistik diambil bagi menyelamatkan mutu bola sepak negara memang kena pada tempatnya dan patut disambut baik pihak berkenaan.

Beliau membuat gesaan itu selaku pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Pembangunan Sukan Negara, yang bermesyuarat untuk siri kedua tahun ini kelmarin. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sepatutnya awal-awal lagi mengambil inisiatif ke arah merealisasikan gesaan berkenaan demi pengembalian zaman kegemilangan sukan bola sepak negara yang benar-benar dikecapi pada zaman Ghani Minhat dan Mokhtar Dahari dulu.

Pendekatan komprehensif yang berangkaian dengan menyeluruh dan mencakupi semua aspek baik dari segi organisasi dan keorganisasian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), persatuan bola sepak negeri, kejurulatihan dan latihan, motivasi, sikap, dan disiplin pemain dan terpenting penambahan dana kewangan khusus persatuan negeri.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob, berkata jika berdasarkan laporan yang diterimanya, ada sembilan persatuan bola sepak negeri bermasalah dengan hutang lapuk dan tertunggak mencecah RM4.8 juta dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Persatuan berkenaan menghadapi sumber kewangan terhad sehingga berhadapan dengan konflik dan dilema untukmembayar gaji jurulatih dan pemain, sewa padang dan stadium.

Dulu, permainan bola sepak di negara kita bersifat amatur dalam keadaan tiap-tiap pemain bermain bermati-matian demi kepentingan nama dan imej negara, tidak begitu prihatin sangat dengan habuan wang ringgit.

Namun, sejak status permainan berubah kepada semi profesional, dengan pengenalan Liga Perdana, persatuan bola sepak negeri dibenar mengambil pemain import, yang bererti bertambah keperluan dana untuk pembayaran gaji mereka.

Slip gaji pemain import yang relatif tinggi, maka pemain tempatan berasa agak cemburu lalu menagih tambahan gaji biarpun tidak setanding dengan habuan pemain import.

Rata-rata peminat amat ghairah mahu menyaksikan kehebatan pemain import yang diselitkan di celah pemain tempatan. Malangnya, keghairahan harapan itu kian lama kian pudar apabila mendapati mutu sukan bola sepak negara tidak berganjak daripada takuk lama.

Pada peringkat antarabangsa misalnya, Malaysia pernah diaibkan pasukan sekerdil, Laos. Stadium cuma dihadiri segelintir penyokong mengakibatkan kutipan pintu masuk susut, tidak mampu hendak membayar sewa stadium apatah lagi jurulatih dan pemain.

Sambutan ini berkait rapat dengan sikap pemain terhadap permainan itu sendiri. Berbeza daripada sukan lain seperti perseorangan badminton dan squasy, bola sepak amat menuntut persefahaman dan semangat kekitaan intim kalangan pemain untuk mempersembahkan permainan bermutu, baik, lagi cantik sehingga meraih kejayaan.

Kehebatan pasukan Manchester United (MU) sebagai contoh, berpunca daripada persefahaman pemain dalam penghantaran bola tepat ke kaki kawan, tidak semata-mata kerana skil pemain individu seperti Wayne Rooney dan Cristiano Ronaldo.

Peminat pasti kagum dan terhibur dengan kecantikan hantaran dan bukaan laluan pemain Arsenal penuh bergaya sehingga dapat menumbangkan MU dan Chelsea, masing-masing 2-1, dalam Liga England, tidak terlalu bergantung kepada kemahiran pemain individu seperti Robin Van Persie.

Biarpun Arsenal selalu kecewa dengan pasukan lemah dalam Liga England sekarang, tetapi peminat tidak pernah merungkai kesetiaan dan sokongan kepada kelab mereka.

Semua ini menjadi pengajaran dan iktibar kepada pegawai FAM dan persatuan negeri serta pemain bertitik-tolak daripada gesaan pendekatan komprehensif dan holistik kepada peningkatan mutu bola sepak negara agar berada pada ranking lebih baik daripada 151 sekarang.

DR ILLIAS ZAIDI,
Akademi Buku Malaysia.