AFC News

FIFA.com - Latest News

Rafa akur Liverpool perlu bangkit

LIVERPOOL (England): Rafael Benitez akui bahawa Liverpool perlu menewaskan pasukan-pasukan seperti Hull City di padang sendiri untuk mempunyai peluang memenangi kejuaraan Liga Perdana.

Liverpool disekat 2-2 oleh pasukan pimpinan Phil Brown - keputusan seri ketiga berturut-turut di Anfield selepas seri dengan Fulham dan West Ham United.

Kelab Anfield itu juga tercicir di padang sendiri dalam perlawanan dengan Stoke City musim ini.

Liverpool, yang memburu kejuaraan pertama Liga England sejak 1990, kekal di tangga teratas meskipun dengan keputusan seri ini tetapi akan digulingkan jika Chelsea menewaskan West Ham tengah malam tadi.

'Jelas sekali kami seharusnya memenangi perlawanan serupa ini.

'Kami semua kecewa tetapi kami tidak dapat mengubahnya,' kata Benitez.

Beliau terhutang budi kepada kapten Steven Gerrard yang menyumbatkan kedua-dua gol Liverpool selepas Hull mendahului 2-0 menerusi jaringan Paul McShane dan gol hadial Jamie Carragher.

'Kami perlu tenang dan mengawal permainan, sebaliknya kami melakukan terlalu banyak kesilapan,' tambah pengurus Liverpool itu.

'Kami memulakan permainan begitu baik dan kami seharusnya lebih dahulu menjaringkan gol dan tidak mudah bermain selepas ketinggalan dua gol ini.

'Saya puas hati dengan respons pasukan kerana tidak mudah bangkit selepas ketinggalan dua gol.'

Keputusan Benitez mengetepikan Robbie Keane di bangku simpanan dan sebaliknya menurunkan pemain-pemain seperti Nabil El Zhar, Ryan Babel dan Lucas sekali lagi menarik perhatian dan menjadi tajuk-tajuk akhbar.

Tetapi jurulatih dari Sepanyol itu mempertahankan keputusan betul meletakkan Dirk Kuyt yang bertindak sendirian di barisan penyerang sekalipun telah mengeluarkan belanja yang besar untuk membawa Keane daripada Tottenham Hotspur menjelang musim ini.

'Kami memikirkan tentang menggunakan pemain-pemain sayap dan ternyata terdapat dua atau tiga gerakan yang baik oleh Nabil dan Babel,' jelas Benitez.

'Kami semua kecewa. Di padang lawan kami mempunyai lebih banyak ruang dan dapat menguasai permainan.

'Bezanya apabila bermain di padang sendiri ialah pasukan lawan lebih defensif dan ini menyebabkan begitu sukar mencari ruang.

'Segala-galanya berjalan dengan baik... kecuali gol ketiga yang diburu tidak berhasil,' kata Benitez lagi.

Hull, yang baru dinaikkan ke Liga Perdana ini, mempunyai rekod cemerlang dengan menduduki tangga keenam.

Ia hanya kalah sekali 3-4 ketika berkunjung ke Old Trafford menentang Manchester United dan berjaya mengalahkan pasukan-pasukan seperti Arsenal, Tottenham dan Newcastle. / AFP


Pengurus dari Sepanyol, Rafael Benitez