AFC News

FIFA.com - Latest News

Macheda harapan Fergie


FEDERICO MACHEDA


LISBON – Penyandang juara Liga Juara-Juara Eropah, Manchester United akan bergantung kepada satu lagi jaringan kemenangan dari pemain remaja, Federico Macheda untuk menyingkirkan Porto awal pagi esok.

Macheda, 17, yang tampil sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan terakhir Liga Perdana England (EPL) berjaya menjaringkan gol kemenangan menentang Aston Villa dan Sunderland.

Bagaimanapun United perlu menguatkan jentera pertahanan, beraksi dengan lebih kreatif di bahagian tengah dan mengatasi kelemahan mental untuk menyingkirkan Porto, yang mengejutkan ramai pihak dengan langkah bergaya dan semangat melawan selepas seri 2-2 minggu lepas di Manchester.

United dapat bangkit selepas ketinggalan dengan jaringan Cristian Rodriguez dan mendahului 2-1 ketika perlawanan berbaki lima minit melalui jaringan Wayne Rooney dan Carlos Tevez.

Namun kerapuhan barisan pertahanan membolehkan Mariano menyamakan kedudukan di minit-minit terakhir.

“Kami perlu menyalahkan diri sendiri. Ia menunjukkan bahawa prestasi pertahanan kami tidak berada pada tahap terbaik sekarang ini,” kata pengurus United, Sir Alex Ferguson.

Kebimbangan Ferguson adalah melihat kerapuhan pertahanan yang berlaku secara mendadak yang sebelum ini dilihat utuh sehinggalah Liverpool menang besar 4-1 di Old Trafford sebulan yang lalu.

United telah melepaskan tujuh gol dalam empat perlawanan dan Ferguson berharap pemain pertahanan England, Rio Ferdinand sembuh dari kecederaan pangkal paha.

Ferguson mungkin boleh menurunkan penyerang Dimitar Berbatov apabila pemain itu pulih dari kecederaan buku lali pada perlawanan pertama.

“Ia satu tugas yang berat sekarang,” kata Ferguson mengenai peluang pasukannya untuk menjadi pasukan pertama dari England menang di Stadium Dragao, Porto.

Jurulatih Porto, Jesualdo Ferreira berkata, kualiti pasukannya yang ditunjukkan di Old Trafford lebih penting dari dua gol di tempat lawan.

“Saya lebih mementingkan prestasi yang memberikan kami keyakinan dan optimistik. Ia merupakan tempoh di mana kami beraksi dengan hebat,” katanya.

Pujian yang diberikan kepada pasukan yang tidak menunjukkan sebarang perasaan gementar itu memberikan mereka lebih keyakinan untuk menyingkirkan United sekali lagi, sama seperti yang dilakukan ketika muncul juara pada 2004 di bawah kendalian Jose Mourinho, namun tiada ada siapa yang alpa.

“Keputusan 2-2 sangat positif tetapi perlawanan masih ada baki 90 minit. Jika anda mahu mara ke separuh akhir, kita perlu merendah diri berikutan Manchester United mempunyai banyak kualiti,” kata ketua pasukan, Lucho Gonzalez. – REUTERS