AFC News

FIFA.com - Latest News

United, Arsenal tempahperlawanan maut


PEMAIN Manchester United, Cristiano Ronaldo (kiri) meraikan jaringan tunggal perlawanan bersama Wayne Rooney dalam aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah menentang FC Porto di Stadium Dragao, Porto, kelmarin. – AP


PORTO, Portugal – Rembatan cantik Cristiano Ronaldo pada awal permainan membawa penyandang juara, Manchester United melangkah ke separuh akhir bola sepak Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan Porto 1-0 kelmarin.

Bintang Portugal itu melepaskan rembatan dari jarak 36 meter seawal minit keenam yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan sekali gus membantu United muncul kelab England pertama berjaya menang di Porto dan layak menerusi agregat 3-2.

Kemenangan tersebut bakal menemukan United dengan kelab senegara, Arsenal yang turut mara selepas cemerlang membenam wakil Sepanyol, Villarreal 3-0 dan layak dengan agregat 4-1.

“Ia jaringan yang amat menakjubkan, sangat cantik. Pasukan kami bermain baik, bertahan dengan baik dan memberi tumpuan penuh. Disiplin adalah kunci kejayaan kami,’’ ujar pengurus United, Alex Ferguson.

United mengambil kesempatan atas permulaan perlahan yang ditunjukkan Porto tetapi tuan rumah kemudian menggandakan asakan memasuki separuh permainan, malah hampir menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Bruno Alves pada minit ke-20, yang hanya tersasar beberapa inci dari pintu gol.

Bagaimanapun, amat malang buat kelab Portugal itu apabila ketua pasukan mereka, Lucho Gonzalez terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan lutut dan digantikan dengan Mariano.

Alves sekali lagi mengancam kubu lawan pada minit ke-40 tetapi kali ini tandukannya, yang disambut hasil sepakan bebas Raul Meireles sekali lagi tersasar.

Babak kedua menyaksikan Porto terus mendominasi permainan dan mencipta beberapa peluang, memaksa United lebih banyak berkubu di tempat sendiri.

Kehadiran Rio Ferdinand di benteng selepas terlepas perlawanan suku akhir pertama, yang berkesudahan 2-2 memantapkan pertahanan United dan menyukarkan lawan menembusi gol.

Menuju ke penghujung saingan, Porto memperoleh beberapa lagi peluang tetapi tandukan Lisandro Lopez tersasar dan usaha pemain gantian, Ernesto Farias untuk melakukan sepakan gunting dalam kotak penalti tidak menjadi apabila melepasi palang.

Rekod bersih United dalam enam perlawanan setakat ini menjadikan mereka calon pilihan untuk memburu lima trofi musim ini. – Reuters