AFC News

FIFA.com - Latest News

‘Sudah bukan rezeki saya’

Dollah Salleh
Dollah Salleh
MEMANG terselit sedikit rasa terkilan di hati jurulatih kelab Shahzan Muda, Dollah Salleh apabila tidak dapat menduduki kerusi ketua pengendali skuad kebangsaan yang kini disandang jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, K Rajagobal.

Nama Dollah antara tiga nama disenarai pendek Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini tetapi pelantikan Rajagobal mencetuskan kejutan apabila FAM secara tiba-tiba membuat keputusan tidak pernah dijangka semua pihak.

Rajagobal dipilih FAM untuk menggantikan tempat B Sathianathan yang menamatkan kontraknya Februari lalu. Beliau ditawarkan kontrak dua tahun serta satu tahun pilihan selepas FAM berdepan masalah untuk mencari calon terbaik daripada tiga calon yang disenarai pendek sebelum ini.

Mohd Azraai Khor Abdullah dari Kedah dan Dollah sendiri tidak mendapat pelepasan majikan manakala seorang lagi calon, K Devan dari Selangor pula menyatakan tidak bersedia untuk mengisi kekosongan itu.

Dollah bagaimanapun langsung tidak berniat mempertikaikan pelantikan Rajagobal sebaliknya yakin jurulatih skuad bawah 23 tahun mampu meningkatkan semula imej bola sepak negara.

“Setiap jurulatih memang mengimpikan untuk menjadi jurulatih kebangsaan dan tidak terkecuali diri saya. Saya sedikit kecewa tidak dapat mengisi kekosongan itu tetapi kali ini ia mungkin bukan rezeki saya.

“Tetapi jangan salah faham. Saya tidak pula mahu pertikaikan pelantikan Rajagobal kerana bagi saya FAM sebenarnya membuat keputusan tepat. Rajagobal boleh dianggap jurulatih berjaya ketika ini,” katanya.

“Cuba lihat penampilan anak buah di dalam skuad Harimau Muda sekarang. Pada usia sekitar 19 tahun, mereka mampu bersaing hebat dengan pasukan negeri dan kelab di dalam Liga Perdana.”