AFC News

FIFA.com - Latest News

Cabaran getir menanti United


IMBAS KEMBALI... Ferguson (kiri) menjulang trofi Liga Juara-Juara selepas United menewaskan Chelsea pada perlawanan akhir di Moscow Mei lalu.



MONTE CARLO _ Juara bertahan, Manchester United bakal berdepan satu tugas sukar dalam misi mempertahankan trofi Liga Juara-Juara musim ini.

Kelmarin, juara Liga Perdana England ini diundi bertemu juara Scotland, Celtic dalam saingan Kumpulan E yang akan membuka tirainya pada 16 dan 17 September ini.

Turut berada dalam kumpulan itu ialah gergasi Sepanyol, Villarreal dan Aalborg.

Bagi Ferguson, dia mengakui undian kali ini lebih sukar, namun tetap bertekad untuk mempertahankan trofi itu dengan mengutip lebih banyak mata bagi memudahkan laluan mereka ke pusingan seterusnya.

"Ini adalah satu cabaran yang hebat," kata Ferguson kelmarin.

"Cabaran ini adalah untuk memastikan kami mengutip 10 mata dengan secepat mungkin. Saya fikir kami mempunyai skuad terbaik untuk melakukannya."

Sementara itu, penyerang Celtic, Scott McDonald teruja apabila diundi bersama juara bertahan untuk tahun kedua berturut-turut.

"Kami seringkali gembira apabila diundi bersama juara Eropah seperti mana yang kami lakukan tahun lalu (bersama Barcelona)," kata McDonald.

"Undian ini memberi kebaikan kepada kami dan ia berguna untuk kami menghadapi pusingan seterusnya."

Sementara itu, finalis musim lalu, Chelsea akan mengetuai Kumpulan A yang melibatkan AS Roma, Bordeaux (Perancis) dan kelab Romania, CFR Cluj. - AFP