AFC News

FIFA.com - Latest News

Ronaldo terbaik di Eropah


TERBAIK... Dari kiri, Terry, Ronaldo, Lampard dan Cech bangga bersama trofi yang dimenangi pada majlis anugerah di Monaco semalam.


MONACO - Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Kelab Eropah tahun ini oleh Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) semalam.

Anugerah yang dibuat sempena undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara itu adalah berdasarkan sumbangan pemain sayap Portugal itu yang menjaringkan 42 gol buat Red Devils termasuk lapan gol dalam kempen Eropah.

Selain itu, Ronaldo turut menerima anugerah Penyerang Terbaik Eropah selepas membantu United menjuarai trofi Eropah buat kali ketiga.

Pada perlawanan akhir itu, United menewaskan musuh tradisi, Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti.

Begitupun, tiga pemain dalam skuad Chelsea yang tewas kepada United di Moscow Mai lalu turut menerima anugerah pada majlis yang diadakan di Monaco itu.

Pertahanan England, John Terry dinamakan sebagai Pertahanan Terbaik Eropah sementara Petr Cech pula memenangi anugerah Penjaga Gol Terbaik Eropah.

Sementara itu, Frank Lampard mengetepikan pencabar lain untuk membawa pulang anugerah Perancang Terbaik Eropah.

- Reuters