AFC News

FIFA.com - Latest News

Malaysia, Thailand buat perhitungan


FADHIL (kiri) meledak gol pembukaan seawal minit ketujuh.


SKUAD futsal kebangsaan berjaya melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Vietnam 3-2 pada aksi terakhir Kumpulan B Kejuaraan Futsal ASEAN (AFF) 2008 di Bangkok, Thailand semalam.

Dengan kemenangan itu, Malaysia muncul juara Kumpulan B dengan 9 mata maksimum, sekali gus akan membuat perhitungan dengan tuan rumah, Thailand pada saingan separuh akhir petang ini.

Thailand yang disebut-sebut sebagai pasukan pilihan sekadar muncul muncul naib juara Kumpulan A selepas tewas 1-3 kepada Indonesia.

Satu lagi perlawanan separuh akhir akan menemukan Thailand dengan naib juara Kumpulan B, Brunei.

Pada aksi semalam, Malaysia mendahului menerusi jaringan Mohd. Fadhil Yusoff seawal minit ketujuh sebelum Mohd. Fadhil Karnim menambah gol kedua tujuh minit kemudian.

"Namun kita sedikit leka pada babak kedua di mana Vietnam berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi jaringan pada minit ke-25 dan 35.

"Mujur, Addie Azwan Zainal berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir untuk mengesahkan kita sebagai juara kumpulan," kata pengurus skuad futsal kebangsaan, Hamidin Mohd. Amin ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada perlawanan pertama Kumpulan B Rabu lalu, skuad negara menewaskan Laos 4-2 sebelum mereka membelasah Brunei 7-1 pada perlawanan kedua kelmarin.

Untuk rekod, pada kejohanan tahun lalu, Malaysia menamatkan saingan di tempat ketiga setelah tewas 0-13 kepada Thailand pada peringkat separuh akhir.