AFC News

FIFA.com - Latest News

Selangor enggan sia-siakan peluang

Oleh Alias Abd Rani

SEJAK dua tahun lalu, Kedah masih menguasai perlawanan dengan meraih kemenangan ke atas Selangor baik dalam persaingan liga, Piala FA mahupun Piala Malaysia.

Dan kali ini, mereka bertemu kembali pada perlawanan yang dianggap amat simbolik bagi kedua-dua pasukan pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Kedua-dua pasukan dilihat ‘luar biasa’ kerana Selangor sejak awal lagi sudah memasang impian untuk menebus kehampaan mereka ke atas skuad itu, begitu juga Kedah mahu mempertahankan piala yang dimenangi itu tahun lalu.

Selain mengulangi final Piala FA beberapa bulan lalu, tumpuan perlawanan itu sudah tentu terarah kepada kebijaksanaan percaturan jurulatih kedua-dua pasukan, Dollah Salleh (Selangor) dan Mohd Azraai Khor Abdullah (Kedah) serta peranan ketua pasukan masing-masing.

Bagi kapten Selangor, Mohd Shukor Adan sudah tiba masanya dia bersama pasukan mengembalikan kegemilangan seperti 2005 untuk merangkul piala berprestij itu.

“Inilah peluang terakhir kami. Kami berjanji tidak akan melepaskan peluang terbaik seperti ini.

“Keyakinan kami cukup tinggi, ditambah pula dengan semangat tinggi untuk menjulang piala itu. Baik pemain tempatan atau pemain import, masing-masing begitu teruja untuk mencipta kejayaan itu.

“Khasnya pemain import walaupun tahun depan tidak beraksi lagi, mereka tetap mahu membuktikan kepada penyokong pada pertemuan itu,” katanya.

Menurutnya, beraksi di tempat sendiri bukan kelebihan buat Selangor kerana masing-masing memiliki penyokong di Lembah Klang.

myMetro