AFC News

FIFA.com - Latest News

Mourinho sedia gegar Eropah


MOURINHO jadi taruhan terbaik Inter musim ini.


ROM - Pengurus Inter Milan, Jose Mourinho tidak sabar untuk memulakan kempen Liga Juara-Juara musim ini selepas pasukannya diundi dalam Kumpulan B bersama kelab Jerman, Werder Bremen, Panathinaikos dari Greece dan pendatang baru dari Cyprus, Anorthosis Famagusta.

Juara Itali, Inter adalah antara pasukan pilihan dalam kejohanan musim ini, namun Mourinho masih merendah diri biarpun undian di atas kertas memihak kepada pasukannya.

"Undian telah dibuat, jadi tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan lagi," katanya.

"Malah, selepas melihat lawan yang akan dihadapi, kami tidak tahu jika ia adalah satu tugas mudah atau sukar pada peringkat awal.

"Objektif kami ialah melepasi peringkat kumpulan dan keduanya ialah melakukannya dengan menjuarai Kumpulan B.

"Sudah tentu kami semakin bersemangat dan berkeyakinan, kami mahu memulakan aksi kempen Liga Juara-Juara ini secepat yang mungkin."

Sementara itu, undian lain menyaksikan kelab Itali, Juventus diundi dalam kumpulan maut bersama juara Sepanyol, Real Madrid, juara Piala UEFA, Zenit St Petersburg dan kelab kerdil, Bate Borisov dari Belarus. - AFP