AFC News

FIFA.com - Latest News

Arshavin hampiri kelab Real


ARSHAVIN jadi buruan beberapa kelab terkemuka Eropah.


LONDON - Real Madrid bakal mendapat khidmat penyerang sensasi Rusia, Andrei Arshavin.

Keyakinan itu disuarakan sendiri ejen pemain itu, Dennis Lachter yang mengakui Real mempunyai peluang terbaik dalam perebutan ke atas bintang Zenit St. Petersburg itu.

Arshavin hampir menyertai Tottenham pada musim panas lalu selepas mempamerkan aksi menakjubkan pada Euro 2008, namun ia tidak berjalan lancar selepas Zenit menaikkan harga perpindahan kepada 27 juta euro (RM122.8 juta).

Begitupun, pemain itu dilihat bakal meninggalkan Rusia pada perpindahan Januari ini dan ejennya memberitahu bahawa destinasi terbaru bagi Arshavin ialah di Bernabeu.

"Buat masa ini, pemain saya masih menarik minat kelab-kelab di England, Itali dan Sepanyol," kata Lachter.

"Sudah pasti semua ini bukan sesuatu yang baru bagi dirinya. Tapi saya perlu beritahu kamu bahawa kami masih belum ada tawaran rasmi.

"Real Madrid menjadi pasukan pilihan, tapi selain dari itu, kami masih belum masuk ke peringkat perbincangan lagi."

Arshavin enggan memberi komen mengenai spekulasi yang mengaitkannya dengan Real minggu lepas, namun pemain berusia 27 tahun itu mengakui dia juga mempunyai minat menyertai juara dua kali Liga Sepanyol itu. - Agensi