MANCHESTER, England - Penyerang Manchester City, Robinho dijangka pulih daripada kecederaan pergelangan kaki menjelang pertembungan menentang Manchester United dalam saingan Liga Perdana England esok.
Selepas terlepas perlawanan yang menyaksikan City seri 2-2 dengan kelab Jerman, Schalke dalam saingan Piala UEFA kelmarin, Robinho dilaporkan telah kembali menjalani latihan ringan hari ini.
Selain Robinho, pengurus City, Mark Hughes juga dijangka akan kembali mendapat khidmat pemain pertahanan, Pablo Zabaleta yang pulih daripada kekejangan otot paha.
Penyerang Elano yang bercuti kerana menyambut kelahiran anaknya juga dilaporkan sedia untuk kembali beraksi sekali gus memberi petanda awal bahawa Hughes bakal mempertaruh barisan terkuat ketika berdepan United.
"Pemain yang kami ketepikan sebelum ini merupakan mereka yang amat kami perlukan.
"Bagaimanapun mereka sudah bersedia untuk beraksi, Robby, Elano dan Pablo dijangka berada dalam senarai kesebelasan utama.
"Jadi saya berharap kecergasan mereka akan bertambah baik dan membolehkan mereka menjadi pilihan utama saya," kata Hughes. - AP