|
VILLARREAL - David Villa, Fernando Torres dan Santi Cazorla masing-masing menjaringkan satu gol untuk membantu Sepanyol menewaskan Chile 3-0 pada aksi persahabatan antarabangsa kelmarin.
Selain menamatkan tahun 2008 dengan penuh cemerlang, pasukan yang menduduki ranking No. 1 dunia ini juga berjaya melebarkan rekod tanpa kalah sebanyak 28 perlawanan.
Sepanyol turut mengekalkan rekod tanpa kalah menentang Chile selepas memenangi tujuh daripada lapan perlawanan.
Villa yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-37 turut muncul pemain pertama Sepanyol yang menjaringkan gol dalam lima perlawanan berturut-turut.
Dia juga melebarkan jaringan di peringkat antarabangsa kepada 24 gol daripada 41 penampilan, sekali gus memintas Alfredo di Stefano di tempat kelima dalam senarai penjaring terbanyak Sepanyol.
Manakala Torres tidak mempersia-siakan peluang pada minit ke-67 sebelum Cazorla melengkapkan kemenangan Sepanyol hasil satu sepakan yang mengelirukan penjaga gol Chile, Claudio Bravo pada minit ke-86.
"Falsafah kami tetap sama, kami bermain dengan baik dan terus menjaringkan gol," kata Cazorla selepas menjaringkan gol pertama di peringkat antarabangsa di Stadium El Madrigal di mana dia bermain untuk kelab Villarreal.
Sepanyol yang menewaskan Jerman pada perlawanan akhir Euro 2008 Jun lalu untuk memenangi trofi utama untuk tempoh 44 tahun tidak pernah tewas sejak 15 November 2006 selepas kekalahan 0-1 kepada Romania.
"Mereka membuatkan kami tidak selesa tetapi Sepanyol bermain dengan baik," kata jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque. - AP