AFC News

FIFA.com - Latest News

Ferguson perlekeh City

LONDON - "Manchester City bukan satu ancaman."

Demikian tegas pengurus Manchester United, Alex Ferguson (gambar) yang menganggap jiran setempatnya itu tidak mampu menyekat penguasaan skuad Red Devils dalam kancah bola sepak England.

City kini menjadi kelab terkaya di dunia selepas diambil alih oleh jutawan Arab Saudi, Sheikh Abu Dhabi Mansour.

Bagaimanapun City masih belum menampakkan bahawa mereka benar-benar menjadi pencabar utama pada kempen Liga Perdana England.

Skuad kendalian Mark Hughes itu kini menduduki tangga ke-11 dan sekadar merekodkan dua kemenangan daripada sembilan perlawanan terakhir.

"Maafkan saya di mana kedudukan mereka (City) sekarang. Buat masa ini Chelsea dan Liverpool yang berada di hadapan kami.

"Apa yang boleh dilakukan Hughes dengan wang yang dimiliki pemiliknya?" soal Ferguson.

Bagi menguatkan kenyataannya, Ferguson turut memberi contoh Chelsea, kelab yang pernah mencipta kejayaan di bawah kendalian Jose Mounrinho.

"Apabila (pemilik Chelsea) Roman Abramovich memberi dana yang cukup lumayan, mereka (Chelsea) memberikan impak yang cukup pantas.

"Mereka mendapatkan pemain terbaik dunia dan berjaya muncul juara Liga Perdana England dalam tempoh dua musim berturut-turut.

"Namun mereka juga menjadi contoh apabila kekayaan yang dimiliki tidak akan mampu bertahan lama

Dalam pada itu United masih menaruh harapan agar penyerang Dimitar Berbatov pulih daripada kecederaan hamstring menjelang pertemuan dengan City esok.

"Saya berharap akan cergas sepenuhnya pada perlawanan menentang City Ahad ini," kata Berbatov.

Berbatov mengalami kecederaan ketika beraksi dengan skuad kebangsaan Bulgaria pada perlawanan persahabatan minggu lalu.

"Disebabkan kecederaan hamstring, kamu perlu berhati-hati. Saya akan menilai kecergasannya sama ada dia akan diturunkan atau diletakkan di bangku simpanan nanti," kata Ferguson. - AP