AFC News

FIFA.com - Latest News

'Lawan macam Piala Dunia'


Diego Maradona memberi arahan kepada para pemain Argentina menjelang perlawanan persahabatan dengan Scotland di Stadium Celtic Park, Glasgow, Scotland, kelmarin.
- Reuters


GLASGOW - Diego Maradona yang mengendalikan sesi latihan sulungnya kelmarin sejak dilantik sebagai ketua jurulatih bola sepak Argentina, menggesa pemainnya berjuang untuk menang ke atas Scotland di sini, hari ini.

Legenda bola sepak berusia 48 tahun itu mengenakan peraturan terhadap pemainnya termasuk Carlos Tevez dari Manchester United dan Javier Mascherano dari Liverpool di Celtic Park apabila membuat persediaan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa.

Maradona mengambil alih daripada Alfio Basile sebagai pengurus bulan lalu selepas kalah 1-0 kepada Chile menggambarkan permulaan teruk Argentina dalam kempen kelayakan Piala Dunia mereka.

Dia memiliki pengalaman kejurulatihan yang terhad sejak lebih sedekad lalu.

Bagaimanapun lelaki yang pernah dianggap sebagai pemain terhebat dunia itu menegaskan, menentang Scotland akan dilayan sehebat perlawanan Piala Dunia kerana dia mahu mencatat satu permulaan yang berjaya apabila menerajuinya.

"Sebuah negara seperti Argentina tidak bermain secara persahabatan. Kami berada pada satu kempen Piala Dunia dan perlawanan ini mesti dilayani dengan cara yang sama.

"Pemain saya mesti berjuang dari minit terawal lagi untuk menang ke atas Scotland. Saya harap dapat melihat satu persembahan yang lebih hebat berbanding perlawanan lalu dengan Chile," katanya.

Namun bos Argentina itu berkata, kehilangan Lionel Messi dan Juan Roman Riquelme daripada skuad tidak wajar menjejaskan tugas mereka.

"Kami tidak wajar berdiri di sana dengan cuma berpeluk tubuh hanya kerana kami tidak boleh berharap pada Riquelme atau Messi," kata Maradona.

"Kami mesti mencari kepelbagaian, pilihan dan kami memilikinya.

"Malah tanpa mereka, kami akan bermain untuk kemenangan ke atas Scotland," katanya.

Perlawanan nanti akan berlangsung di Hampden, sebuah stadium yang turut akan mengadakan kenangan khas buat Maradona kerana di situlah jagoan bahagian tengah itu menjaringkan gol sulung antarabangsanya lebih 29 tahun lalu.

Baru berusia 18 tahun ketika itu, dia bersama juara Piala Dunia 1978, Argentina menewaskan Scotland 3-1 pada 2 Jun 1979 di mana dia menghadapi George Burley kini pengurus Scotland.

Bola sepak Argentina keseluruhannya kembali ke akar umbi bagi perlawanan dengan Scotland.

Alexander Watson Hutton yang amat dikenali sebagai bapa pengasas bola sepak Argentina, dilahirkan hanya dua batu dari Hampden Park di Glasgow.

Dia membantu mengasaskan Liga Bola Sepak Persatuan Argentina pada 1891, persatuan bola sepak kebangsaan pertama yang tersusun dan kelapan tertua di dunia.