|
GLASGOW - Diego Maradona mengakui dia berasa sangat bangga apabila perlawanan pertamanya sebagai jurulatih Argentina berakhir dengan kemenangan.
Argentina menang 1-0 ke atas Scotland pada aksi persahabatan antarabangsa di Hampden Park kelmarin.
Begitupun kemenangan itu belum cukup untuk memuaskan hati legenda bola sepak itu ke atas musuh lamanya di England, Terry Butcher yang kini menjadi penolong pengurus Scotland.
Ini kerana Butcher tidak pernah menyembunyikan kekecewaannya kepada Maradona yang menjaringkan gol 'Tangan Tuhan' untuk membantu Argentina menewaskan England pada aksi suku akhir Piala Dunia 1986.
Ketika ditanya mengenai perlawanan kelmarin, Maradona berkata, dia berharap anak buahnya akan melupakan memori pahit apabila bermula lembap pada kempen kelayakan Piala Dunia.
"Saya adalah seorang pengurus yang berasa sangat bangga malam ini (kelmarin). Ia adalah satu pengalaman yang hebat dan menjadikan saya berasa sangat tenang," kata Maradona.
"Kami berdepan krisis yang kecil tetapi pemain kami telah membuktikan dan menunjukkan bahawa mereka adalah pemain yang berkebolehan dan mereka membanggakan saya.
"Apa yang mengagumkan saya adalah persembahan yang menarik dipamerkan mereka, memberikan saya harapan pada masa hadapan."
Maradona berkata, ketika dia duduk di bangku simpanan buat kali pertama, pemikirannya terarah kepada anak perempuannya Giannina yang mengalami masalah bersalin awal minggu ini.
"Saya telah memikirkan anak perempuan saya dan anaknya. Fikiran saya sudah tentu terarah kepada anak perempuan saya. Dia gembira saya membimbing Argentina malam ini (kelmarin) dan sebab itu saya berada di sini.
Pada perlawanan kelmarin, Maxi Rodriguez muncul wira Argentina apabila dia menjaringkan gol tunggal permainan pada minit kelapan. - AFP