AFC News

FIFA.com - Latest News

Jaringan Ronaldinho bikin Ancelotti tersenyum lebar


RONALDINHO meledak gol pertama Milan pada aksi Piala UEFA menentang Portsmouth di Fratton Park kelmarin.


PORTSMOUTH, England - Kelibat pemain tengah AC Milan, Ronaldinho terus dapat pujian.

Kelmarin pengurusnya, Carlo Ancelotti memuji bintang Brazil itu apabila dia membantu Milan mencatat keputusan seri 2-2 dengan Portsmouth dalam saingan Piala UEFA.

Biarpun hanya beraksi sebagai pemain gantian, penampilan Ronaldinho ternyata memberi impak kepada Milan.

Selepas Milan ketinggalan 0-2 pada aksi di Fratton Park, Ronaldinho menjaringkan gol pertama pasukannya menerusi sepakan percuma yang cukup menarik pada minit ke-84.

Penyerang veteran Milan, Filippo Inzaghi meledakkan gol penyamaan pada masa kecederaan dalam aksi Kumpulan E itu.

Ia merupakan gol ke-65 Inzaghi di peringkat Eropah selepas dia bijak menyambar bola di hadapan pintu gol lawan ketika permainan berbaki kurang daripada 30 saat.

Sekalipun seri, ia sudah memadai buat Milan melayakkan diri ke peringkat kalah mati.

"Kami hampir berputus asa tetapi reaksi pemain sangat baik dan kami bangkit selepas ketinggalan 0-2. Ia sesuatu yang cukup hebat," kata Ancelotti.

"Sudah tentu Ronaldinho menghadirkan satu perubahan kerana dia kembali membuka peluang dengan satu sepakan percuma yang menarik. Perlawanan benar-benar berubah selepas itu."

Portsmouth yang membuat penampilan pertama di pentas Eropah terlebih dahulu memperoleh jaringan menerusi Younes Kaboul dan Kanu.

Berikutan keputusan seri itu, Portsmouth perlu memenangi dua perlawanan terakhir peringkat kumpulan bagi mengiringi Milan ke pusingan kalah mati.

Sementara itu, pengendali Portsmouth, Tony Adams mengakui, prestasi pasukannya mula meningkat sejak dia mengambil alih tugas selaku pengurus daripada Harry Redknapp bulan lalu.

"Mereka (pemain) berasa sedikit kecewa kerana mereka merasakan bahawa mereka sepatutnya memenangi perlawanan ini.

"Saya tidak rasa kecewa, malah saya berasa sangat bangga dengan pemain-pemain saya dan cara mereka bermain.

"Itu adalah persembahan terbaik yang pernah saya lihat sejak saya menjadi pengurus," kata Adams. - AFP