AFC News

FIFA.com - Latest News

Loew mengaku kalah

BERLIN - Jurulatih Jerman, Joachim Loew (gambar) mengakui pasukan England lebih baik berbanding skuad kendaliannya selepas mereka tewas 1-2 pada aksi persahabatan antarabangsa kelmarin.

Pada perlawanan itu, kapten John Terry menanduk masuk gol kedua England pada minit ke-83 untuk memberikan kemenangan skuad kendalian Fabio Capello itu.

"Pemain-pemain England bermain lebih baik sepanjang perlawanan itu," kata Loew yang membimbing Jerman menjadi naib juara pada Euro 2008 Jun lalu selepas tewas kepada Sepanyol pada perlawanan akhir di Vienna.

"Kami melalui hari yang buruk di pejabat dan disudahi dengan kekalahan.

"Hanya pada separuh masa kedua kami berjaya mempamerkan kekuatan sebenar, aksi terbaik sepanjang perlawanan itu tetapi kami menghadapi masalah yang besar dari segi organisasi dan struktur.

"Kamu boleh lihat England menjadi pasukan yang lebih kuat dan kami gagal menyempurnakan peluang apabila kami memperolehnya."

Beraksi tanpa kapten Michael Ballack dan pemain veteran Torsten Frings di bahagian tengah, skuad kendalian Loew dilihat sukar untuk menembusi benteng pertahanan pasukan pelawat.

"Kami tidak mempamerkan aksi terbaik hari ini (kelmarin) tetapi secara taktikalnya England juga bermain dengan baik," kata pemain tengah Bayern Munich, Bastian Schweinsteiger. - AFP