LONDON - Fernando Torres sekali lagi terpaksa diketepikan.
Kali ini, penyerang antarabangsa Sepanyol itu akan direhatkan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu ekoran kecederaan hamstring yang dialaminya buat kali ketiga musim ini.
Torres, 24, disahkan mengalami kecederaan hamstring oleh pegawai perubatan Liverpool sebelum dia menjalani ujian imbasan kelmarin.
Jurucakap Liverpool memaklumkan, kecederaan terbaru yang dialami Torres itu tidak sama seperti mana yang dialaminya sebelum ini sehingga menyaksikan dia tidak dapat beraksi dalam enam perlawanan.
"Kecederaan ini melibatkan kaki yang sama tetapi di bahagian berlainan dan ia bukan kecederaan yang berulang. Dia (Torres) akan direhatkan selama dua hingga tiga minggu," jelas jurucakap berkenaan semalam.
Kecederaan Torres ini pasti memberi tamparan hebat buat pengurus Liverpool, Rafael Benitez dalam misinya memburu kejuaraan Liga Perdana England.
Torres akan terlepas aksi menentang West Ham United, Blackburn Rovers selain pertemuan dengan PSV Eindhoven pada aksi Liga Juara-Juara dua minggu akan datang.
Bagaimanapun sentuhannya pasti ditagih Liverpool dalam pertemuan menentang musuh tradisi, Arsenal di Stadium Emirates pada 21 Disember ini.
Kali pertama Torres mengalami kecederaan hamstring ialah ketika Liverpool menentang Aston Villa pada penghujung Ogos lalu.
Dia mengalami kecederaan sama pada perlawanan antarabangsa bulan lalu.
Terbaru, Torres mengalami kecederaan hamstring ketika membantu Liverpool mencatat kemenangan 1-0 ke atas Marseille dalam kempen Liga Juara-Juara Rabu lalu. - Agensi