AFC News

FIFA.com - Latest News

Brazil mahu tamat badi tempat sendiri

RIO DE JANEIRO - Brazil dilihat berazam untuk menjaringkan gol pertama di tempat sendiri pada perlawanan persahabatan menentang Portugal di Brasilia, hari ini.

Kali terakhir Brazil menjaringkan gol di gelanggang sendiri adalah pada November tahun lalu.

Aksi tanpa jaringan pasukan bola sepak Brazil diperoleh ketika negara itu mencatat keputusan seri 0-0 dengan Argentina, Bolivia dan Colombia pada persaingan kelayakan Piala Dunia.

Tiga keputusan perlawanan terdahulu tersebut yang dicapai di gelanggang sendiri telah merunsingkan jurulatih Brazil, Dunga bagi mencari jalan terbaik untuk memecah benteng pertahanan lawan.

Pasukan bimbingan Dunga telah beraksi selama 295 minit di tempat sendiri, tetapi masih gagal untuk mencecah jaring pihak lawan bagi mendapatkan gol.

Kali terakhir negara yang terkenal dengan jolokan Samba mendapat gol di hadapan penyokong sendiri adalah menerusi jaringan Luis Fabiano apabila Brazil menewaskan Uruguay 2-1 di Sao Paulo, November tahun lalu.

Dunga sekali lagi dilihat tidak menggunakan khidmat pemain AC Milan, Ronaldinho dalam pasukan bimbingannya itu, sebaliknya terus memberi kepercayaan kepada Adriano, meskipun penyerang itu disingkirkan daripada Inter Milan kerana masalah disiplin.

Pemain pertahanan tengah Brazil, Lucio terlepas beraksi pada hari ini kerana mengalami kecederaan.

"Ia merupakan sesuatu yang bagus kepadanya (Ronaldinho) untuk bermain dengan Milan kerana dia boleh kembali ke pangkuan skuad kebangsaan dalam keadaan baik tahun depan. Dia adalah pemain yang tidak dapat diganti," kata Dunga.

Portugal akan menjadi pasukan Eropah pertama yang berkunjung ke Brazil dalam tempoh lebih enam tahun.

Kali terakhir Brazil melayani kunjungan pasukan Eropah pada Mac 2002 apabila Yugoslavia datang ke Fortaleza.

Pertemuan itu turut menyaksikan penyerang Brazil, Ronaldo kembali beraksi, selepas menyepi selama dua setengah tahun.

Selepas penganjuran tersebut, hampir kesemua perlawanan persahabatan Brazil diadakan di Eropah atau Asia, termasuk pertemuan menentang pasukan Amerika Selatan lain.

Jurulatih Portugal, Carlos Queiroz dilihat semakin ceria apabila menerima kepulangan semula beberapa pemain utamanya daripada masalah kecederaan.

Antara pemain yang kembali memperkuatkan pasukan Portugal ialah pemain tengah, Maniche; pemain perancang, Deco; pemain sayap, Simao Sabrosa dan pemain pertahanan, Jose Bosingwa.

Pemain pertahanan Porto, Rolando dan pemain tengah Braga, Cesar Peixoto turut terpilih dalam skuad senior Portugal buat kali pertama, manakala Tiago disenaraikan dalam 20 pemain selepas lebih setahun tidak terpilih.

"Perlawanan ini akan memberi kami peluang terbaik untuk mengukuhkan semangat berpasukan, merangsang penumpuan dan memotivasi pemain-pemain untuk beraksi di Piala Dunia 2010.

"Kami tidak akan mempunyai perlawanan seumpama ini lagi untuk dilakukan. Tujuan perlawanan ini adalah untuk mempersiapkan pasukan untuk layak ke Piala Dunia 2010. Saya tidak mahu mempertimbangkan kemungkinan untuk tidak bermain di Piala Dunia," kata Queiroz.

Portugal akan bermain satu lagi perlawanan persahabatan pada Februari depan, sebelum melayani Sweden.