BERLIN - Pengurus England, Fabio Capello mendedahkan keyakinan adalah kunci kejayaan skuad kendaliannya menewaskan Jerman 2-1 pada aksi persahabatan antarabangsa kelmarin.
"Saya fikir apabila saya memulakan tugas saya, saya memberitahu bahawa kami perlu memulihkan keyakinan kami," kata Capello kepada pemberita selepas John Terry menanduk masuk gol kemenangan England di Stadium Olimpik, Berlin.
"Pemain-pemain memahaminya dan kami telah tunjukkan sepanjang perlawanan itu dan sebelum itu ketika menjalani latihan."
Pada aksi kelmarin, England lebih banyak menguasai permainan babak pertama menentang musuh tradisinya itu sebelum mendahului menerusi Matthew Upson.
Begitupun mereka memboloskan gol yang tidak sepatutnya menerusi Patrick Helmes selepas berlaku kekeliruan antara Terry dan penjaga gol simpanan Scott Carson sebelum kapten Chelsea itu menjaringkan gol kemenangan.
"Hari ini (kelmarin) saya lihat langkah yang seterusnya," kata Capello yang beraksi tanpa beberapa pemain berpengalaman seperti Steven Gerrard, Wayne Rooney, Frank Lampard, David Beckham dan Rio Ferdinand.
"Saya tidak mempunyai sesuatu mesej (kepada pemain-pemain itu," katanya.
"Saya fikir mereka sangat gembira kerana kami menang di sini (Berlin)."
Sementara itu pemain tengah, Michael Carrick kagum dengan kejayaan yang dicapai di Berlin tanpa beberapa pemain bintang.
"Ia menunjukkan kekuatan dalaman skuad ini, ia sangat penting," katanya kepada pemberita.
"Tidak selalunya semua pemain akan bersedia."
- Reuters